Friday 14 March 2014

Sokongan padu rakyat tanda syukur


PENGHARGAAN: Ketua Kampung Teh dan Teh Labak menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah pada majlis tersebut, semalam. Turut kelihatan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah (dua kanan), Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh (kanan) dan Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Muhammad Leo Toyad (tiga kiri).

MUKAH: Sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian hujung bulan ini amat penting sebagai manifestasi kesyukuran dan penghargaan rakyat kepada pucuk pimpinan yang berjaya membawa pembangunan ke kawasan ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat di kawasan DUN Balingian khasnya harus bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang telah diberikan oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas wakil rakyat di situ yang mengubah wajah Mukah ke arah yang lebih maju.

“Untuk menunjukkan tanda kesyukuran dan penghargaan tersebut terutamanya kepada beliau (Taib), rakyat harus mempertahankan kerusi DUN Balingian pada PRK hujung bulan ini,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi dan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan Daerah Mukah di Dewan Suarah Mesra Mukah semalam.

Awang Tengah berkata, beliau pernah berkhidmat di jabatan kerajaan di bahagian ini pada awal tahun 80-an.

“Pada waktu itu keadaan masih lagi mundur dan belum berkembang terutamanya dari segi perhubungan yang cukup mencabar dan kebiasaannya masyarakat menggunakan bot kerana masih belum terdapat jalan raya yang elok.

“Bagaimanapun, dengan kepimpinan beliau (Taib), beliau telah berjaya mengubah Mukah dan jelas pada hari ini kita dapat menyaksikan sendiri perkembangan serta pembangunan yang ada di sini.

Oleh itu, rakyat harus bersyukur dan mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 530 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) diserahkan kepada pemiliknya hasil Program Pengukuran Kampung Tradisi melibatkan lima buah kampung iaitu Kampung Litong, Kampung Bunut, Kampung Teh, Kampung Teh Labak dan Kampung Sungai Alo.

Selain itu, sebanyak 151 lot telah diluluskan melalui Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan di Kampung Tellian.

Difahamkan, surat di bawah Seksyen 18 KTN yang dikeluarkan untuk kampung tradisional mengecualikan pemiliknya daripada membayar pengukuran, premium dan cukai tanah tahunan.

Tempoh pemilikan untuk tanah tersebut juga adalah untuk selama-lamanya.

Awang Tengah berkata, pihak kerajaan bukan sahaja melihat dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga kebajikan rakyat.

“Seperti majlis kita hari ini (semalam), kita menyampaikan surat hak milik tanah kepada rakyat sekali gus ini adalah keprihatinan kerajaan terhadap rakyat untuk terus maju dan membangun.

“Melalui pemberian surat hak milik tanah seumpama ini, rakyat dapat mengerjakan tanah mereka dan meningkat taraf hidup,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment