Monday, 17 March 2014

PKR pilih Abdul Jalil sebagai calon PRK DUN Balingian


CALON KITA: Azmin (empat kiri) dan Baru (tiga kiri) memperkenalkan Abdul Jalil (lima kiri) kepada media di Sibu, petang semalam.

SIBU: Pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam telah membuat keputusan memilih Setiausaha PKR Cabang Bintulu Abdul Jalil Bujang menjadi calon parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presiden PKR Azmin Ali selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli parti di sebuah hotel terkemuka di sini, petang semalam.

“Parti telah memilih beliau untuk menggalas tanggungjawab parti melawan Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Balingian.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang telah lama berjuang sejak penubuhan parti.

“Pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 yang lepas, beliau diamanahkan parti untuk bertanding di DUN Jepak,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan nama Abdul Jalil sebagai calon PKR.

Hadir sama Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Naib Pengerusi PKR Sarawak Ali Biju dan Setiausaha Agung PKR Sarawak See Chee How.

Sementara itu, Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, meskipun Abdul Jalil tinggal di Bintulu namun dia sering pulang ke Kampung Lintang, Balingian untuk menjenguk ahli keluarganya di sana.

“Sebagai seorang yang mempunyai keluarga keturunan Melanau Islam yang berakar umbi dari Kampung Lintang, Balingian maka PKR mempunyai kekuatan dan keyakinan penuh bahawa kita mampu memberi tentangan sengit kepada calon BN kelak.

“Walaupun tinggal dan menetap di Bintulu namun ikatan kekeluargaan yang akrab menyebabkan beliau sering balik ke Balingian melawat ibu bapa, saudara-mara serta ahli keluarga lain yang masih menetap di kampungnya itu,” jelasnya.

PKR katanya, yakin dengan kematangan pengundi di DUN Balingian dan percaya pembangkang mempunyai sokongan yang baik di situ.

“Suara pembangkang di DUN Balingian bukannya sesuatu yang baharu malah kita sudah mula diterima masyarakat setempat meskipun kita kalah pada pilihan raya yang lalu.

“PKR memilih Abdul Jalil yang mempunyai ahli keluarga di DUN Balingian akan memperkukuhkan lagi sokongan kita pada PRK itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, PRK DUN Balingian dan Kajang telah memberi isyarat kepada BN bahawa mereka ditentang sambil kita mahu mereka meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu selain dari isu-isu peribadi yang membawa manfaat sendiri.

Ditanya mengenai senjata PKR untuk menghadapi PRK DUN Balingian, Azmin memberitahu, parti akan menggunakan isu-isu tempatan dan isu pembangunan juga penting.

“Selain isu-isu pembangunan dan tempatan yang ada di sekitar bahagian Mukah, kita juga bersandarkan kepada kekuatan keperibadian calon yang mempunyai rekod cemerlang yang sangat disenangi barisan pimpinan dan keahlian parti di peringkat pusat dan negeri,” tegasnya.

Tambah Azmin, seandainya keputusan PRK DUN Balingian memihak kepada PKR, ia akan menjadi jambatan pembangunan yang lebih bersepadu dan percaya calon PKR itu mampu membawa pembangunan yang lebih pesat di Balingian. - theborneopost

No comments:

Post a Comment