Friday, 14 March 2014

Yossibnosh memang maklum

KUCHING: Yossibnosh Balo tidak menunjukkan reaksi terkejut apabila diuar-uarkan nama beliau antara yang disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Pegawai Daerah Dalat itu ketika dihubungi semalam memberitahu, beliau sedia maklum mengenai perkara itu, namun belum ada pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diwakilinya termasuk Presiden Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bersemuka serta membincangkan perkara itu dengannya.

Beliau yang ketika ini bercuti dan berada di bandar raya Kuching atas urusan peribadi bagaimanapun memberitahu ada didatangi oleh pegawai polis dari cawangan khas pada pertengahan Februari lepas.

“Ya, saya tahu. Saya antara nama yang disebut (sebagai calon) tetapi buat masa ini saya tidak boleh mengulas lebih lanjut sebab belum ada kepastian.

“Lagipun belum ada sebarang pertemuan antara saya dengan pemimpin parti termasuk Presiden. Cuma pada pertengahan Februari lepas saya didatangi pegawai polis dari cawangan khas,” katanya ringkas.

Ditanya adakah beliau bersedia menggalas tugas tersebut, dengan ringkas Yossibnosh yang berusia lewat 40-an dan berasal dari Kampung Tellian, Mukah, berkata: “Ya, jika saya diberi kepercayaan.”

Beliau juga memberitahu tidak akan berasa terkilan jika tidak dipilih sebaliknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Selain Yossibnosh dua lagi nama yang dikaitkan dengan PRK Balingian ketika ini ialah bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Akit Sebli dan Adrian Dohat, jurutera.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak pada sidang media kelmarin memberitahu calon dipilih mewakili PBB pada PRK Balingian merupakan anak jati Mukah, berbangsa Melanau, beragama Kristian dan amat dikenali masyarakat setempat.

Menurutnya, pemilihan calon bagi PRK Balingian adalah berdasarkan ‘Perjanjian Jangka Panjang’ yang dipersetujui sejak 1963 yang menetapkan salah seorang daripada tiga wakil rakyat di kawasan itu (Parlimen Mukah) adalah beragama Kristian dari masyarakat di situ.

Di bawah perjanjian bersama dalam kalangan suku kaum Melanau, salah satu daripada dua kerusi DUN iaitu Dalat dan Balingian atau bahagian Parlimen Mukah perlu diwakili Melanau Kristian.

Adenan bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon yang dimaksudkan kerana perkara itu, katanya, akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Pengerusi BN pusat dalam majlis pemimpin bersama rakyat di Mukah esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Balingian diadakan pada 29 Mac, manakala hari penamaan calon pada 17 Mac.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika mengumumkan perkara itu Khamis minggu lalu berkata, seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 28 Februari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi. - theborneopost

No comments:

Post a Comment