Wednesday, 26 March 2014

Dua puak SUPP sedia berdamai


SEDIA DAMAI: Adenan mengangkat tangan Wong dan Chin sebagai tanda kesediaan mereka untuk menamatkan krisis SUPP sejak 2011.


MUKAH: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem gembira dengan kesediaan dua pihak bertelagah dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk berdamai sekali gus mungkin memberi peluang cerah untuk parti tertua di Sarawak itu tidak dibatalkan pendaftaran.

Ketika menghadiri majlis masyarakat Cina di sebuah hotel di sini semalam, Adenan mahu Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh bermaaf-maafan atas semangat Barisan Nasional (BN).

“Demi SUPP Peter Chin dan Wong Soon Koh sedia untuk berdamai dan bersatu padu semula.

“Masyarakat Cina sudah jemu dan letih tengok pemimpin- pemimpin mereka bergaduh.

Cukup-cukuplah,” katanya berucap pada majlis yang turut dihadiri dua pemimpin itu.

SUPP berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak berpuas hati dengan jawapan surat tunjuk sebab pada Januari lepas.

Manakala dua cawangan parti itu, Piasau dan Bekenu telah dibatalkan pendaftaran kerana melanggar Perlembagaan parti dalam proses pemilihan peringkat cawangan pada 2011.

SUPP berpecah kepada dua puak menjelang Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) 2011 dengan Wong memimpin satu kumpulan, manakala satu lagi dipimpin oleh Chin.

Adenan berkata, meskipun tidak dapat dilakukan sertamerta, kesediaan dua pihak terbabit sudah memadai sebagai tanda permulaan ke arah perdamaian.

Sambil memberi contoh kesediaan dua puak dalam SPDP yang sebelum ini bertelagah, beliau juga mahu persengketaan dalam SUPP dapat diatasi demi mengukuhkan BN.

Menurutnya, parti yang kuat sukar untuk digugat dan dapat menunjukkan teladan baik kepada masyarakat diwakilinya.

“Sarikei, Piasau, Batu Kawah (sekadar menyebut beberapa kerusi pilihan raya ditandingi SUPP) mungkin tidak akan kalah di tangan parti lawan jika (SUPP) tidak bergaduh.

“Mereka menang bukan sebab mereka menang tetapi kita pukul muka sendiri,” ujarnya.

Sambil memberitahu beliau sayang melihat riwayat parti tertua itu berakhir begitu sahaja, Adenan berkata SUPP perlu kukuh hubungan pemimpinnya agar pengundi yakin untuk menyokong mereka.

“Untuk menyelamatkan SUPP itu adalah yang paling mustahak,” tegasnya.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, Adenan berkata hanya mereka yang ada mata tetapi buta dan ada telinga tetapi pekak yang mengatakan Mukah atau kawasan DUN Balingian tidak membangun.

Beliau menyelar golongan yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan pembangunan di Mukah kerana gagal melihat perubahan besar kawasan itu selama ini.

Menurutnya, golongan berkenaan sengaja menafikan usaha pembangunan di kawasan yang pernah diwakili bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mulai Pilihan Raya Negeri (PRN) 2001.

“Mereka yang cakap tidak ada pembangunan (di Mukah) itu cakap orang ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak.

Tiga puluh tahun yang lepas Mukah lain (kini sudah membangun),” katanya.

Beliau yang turut disertai calon BN Yussibnosh Balo berkata, pembangkang sekadar mengada-adakan cerita dalam usaha mereka meraih simpati pengundi.

Justeru, Adenan menyeru pengundi Cina di Mukah agar menyokong BN demi meneruskan pembangunan di kawasan yang turut dirangkumkan dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) itu.

Taib, menurutnya, masih sayangkan rakyat di Balingian tetapi terpaksa mengosongkan kerusi itu kerana dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, perjuangan Taib akan diteruskan oleh Yussibnosh untuk memajukan lagi kawasan Balingian.

Beliau turut memberi jaminan parti komponen BN terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan SPDP akan terus membela nasib rakyat Sarawak. - theborneopost

No comments:

Post a Comment