Monday 24 March 2014

Larang pelampau masuk langkah pastikan keamanan


BERSATU: Khairy (dua kiri) mengangkat tangan calon BN Yussibnosh Balo (tengah) bersama Fadillah (kanan).


MUKAH: Tindakan Sarawak tidak membenarkan pelampau agama dan kaum masuk ke negeri ini merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan keamanan dan keharmonian negeri ini terus terpelihara.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, di Sarawak soal-soal perkauman dan agama yang melampau tidak dibenarkan kerana ia bukan budaya masyarakat di sini.

“Sarawak adalah antara contoh terbaik bagi konsep 1Malaysia dan saya nampak bahawa tindakan Kerajaan Negeri Sarawak tidak membenarkan unsur-unsur ekstremis masuk ke negeri Sarawak adalah langkah untuk menjaga keamanan dan keharmonian yang wujud di negeri Sarawak.

“Di negeri Sarawak tidak dibenarkan soal-soal perkauman dan agama yang melampau dan inilah budaya yang harus dipertahankan dan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sarawak bukanlah tindakan di luar batas undang-undang dan ia adalah kuasa kerajaan negeri untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mesra Bersama Belia di Stadium Tertutup KPS Mukah, semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan memberitahu, pendekatan yang digunakan oleh Pemuda BN Sarawak dalam menganjurkan majlis itu amat bertepatan dengan konsep yang santai dan bersahaja.

“Pendekatan yang digunakan oleh Pemuda BN Sarawak amat tepat sekali kerana kita fokus kepada program-program mendekati generasi muda secara santai secara bersahaja dan memilih program menepati cita rasa mereka iaitu sukan dan rekreasi,” katanya.

Khairy menyatakan bahawa beliau ingin melihat anak kelahiran Mukah dapat menjadi atlet di peringkat kebangsaan.

“Saya ingin melihat anak kelahiran Mukah menjadi seorang atlet yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, sepanjang lawatan ringkas saya ke sini pelbagai permintaan untuk kemudahan belia diajukan kepada saya.

“Justeru, saya sarankan mereka menubuhkan persatuan supaya kita boleh melihat permintaan mereka,” katanya.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo serta yang lain. - theborneopost

No comments:

Post a Comment