Monday 17 March 2014

Dua sebab harus memilih BN


MESRA: Shafie mempelawa penduduk Kampung Lintang, Balingian menikmati kuih-muih tempatan.


Calon terbaik, pembangunan berterusan sebab utama pengundi perlu sokong BN

MUKAH: Pemilihan calon terbaik serta pembangunan berterusan menjadi sebab utama pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian perlu terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata calon BN Yussibnosh Balo merupakan orang yang berpengalaman dalam pentadbiran berkaitan masyarakat memandangkan beliau adalah bekas pegawai daerah Dalat.

“Saya yakin calon ini amat layak kerana beliau orang tempatan, berpelajaran tinggi, mempunyai pengalaman yang baik dalam bidang pentadbiran sebagai pegawai kerajaan.

“Saya rasa orang suka calon yang berupaya mentadbir masyarakat,” katanya kepada pemberita pada Program Jalinan Rakyat di Kampung Lintang, Balingian dekat sini, semalam.

Shafie berkata lagi, kerajaan BN telah membuktikan Sarawak tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Pada tahun lalu, kementeriannya telah membelanjakan RM1.5 bilion untuk kemudahan elektrik di seluruh Sarawak.

Katanya ia sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan semua penduduk menikmati kemudahan terutama elektrik.

Malah, kementeriannya diperuntukkan RM5 bilion menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara untuk pelaksanaan pelbagai projek.

“Kementerian akan sentiasa memastikan mana-mana penduduk yang belum menikmati kemudahan baik air mahupun elektrik, akan disegerakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau sebelum itu berkunjung ke beberapa rumah sambil ditemani Penghulu Shahdan Bahri.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut merasmikan Surau Kampung Lintang.

Mengenai jaringan jalan raya di Sabah dan Sarawak, kerajaan menurutnya mempunyai perancangan untuk menghubungkan setiap tempat untuk memudahkan pergerakan penduduk kedua-dua negeri.

“Kita akan sambungkan jaringan jalan raya di Sabah dan Sarawak termasuk jalan menghubungkan Kapit dengan Sibu yang sedang dalam proses pembinaan pada masa ini,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment