Monday, 31 March 2014

Kemenangan petunjuk rakyat setia, percaya terhadap BN

KUCHING: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian petunjuk yang jelas tentang kesetiaan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan BN di negeri ini.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata, kemenangan semula BN di kawasan majoriti Cina itu juga petanda yang memberangsangkan khususnya rakyat di DUN Balingian.

“Inilah tanda kesetiaan dan kepercayaan rakyat di negeri ini khususnya di Balingian dan mesej bahawa mereka menyambut baik kedatangan Ketua Menteri baharu (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) serta ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada bekas KM (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri menambah, hasil kegigihan jentera BN sepanjang berkempen membantu kemenangan dengan majoriti yang besar.

“Walaupun kami yakin kemenangan akan memihak kepada BN, tidak sedikit pun kami dalam jentera PRK ini mengambil sikap sambil lewa malah diarahkan oleh Yang Amat Berhormat KM untuk bekerja keras memastikan kemenangan yang besar.

“Kami juga diarah berkempen untuk memastikan semua warga pemilih DUN 51 Balingian terus menyakini kredibiliti dan kemampuan BN menerajui kerajaan yang akan merancakkan lagi program pembangunan di seluruh negeri,” katanya.

Pada masa sama ADUN Semop itu memberitahu bahawa PRK ini juga telah memperlihatkan kerjasama serta persefahaman yang kukuh antara setiap parti komponen BN Sarawak yang bekerja serta bertindak dalam satu struktur kempen yang teratur dan berkesan.

“Kami tidak pernah sedikit pun meragui tentang pemilihan calon BN Balingian yang kami yakini adalah pilihan yang tepat serta mudah diterima rakyat DUN Balingian kerana beliau adalah anak jati tempatan yang juga pernah berkhidmat dengan cemerlang sebagai seorang pegawai daerah,” jelasnya.

Selain itu, menurutnya, KM juga telah menasihati semua ADUN untuk mengambil perhatian serius setiap masalah rakyat di kawasan masing-masing dan rajin bekerja untuk memastikan keyakinan rakyat tidak luntur dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“KM baharu dalam kebanyakan ucapannya, begitu tegas dan berazam untuk meneruskan kesinambungan program pembangunan negeri ke tahap yang lebih agresif terutama di kawasan luar bandar,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment