Tuesday, 25 March 2014

BN akan terangkan tuntutan DAP terhadap penurunan tarif elektrik

MUKAH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan turun padang dan mengadakan beberapa sesi kempen untuk menerangkan tuntutan Parti Tindakan Demokratik (DAP) terhadap penurunan tarif elektrik sebanyak 30 peratus yang tidak munasabah dan tidak berasas.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran berkata, pada 28 Januari lalu DAP telah melancarkan kempen besar-besaran di seluruh negeri bagi mendapatkan 100,000 tandatangan untuk penurunan tarif elekrik.

Beliau memberitahu ia adalah pandangan yang tidak munasabah dan tidak berasas.

“DAP nampaknya memberi suatu pandangan yang menarik tetapi tidak realistik.

“Semuanya adalah semata-mata untuk tujuan politik yang tidak bertanggungjawab.

“DAP telah mengemukakan mengenai fakta-fakta mengenai tarif yang telah diputarbelitkan.

“Kempen tersebut jelas tidak ikhlas dan berunsurkan politik yang boleh menghancurkan Sarawak Energy seterusnya pembangunan negeri Sarawak yang kita cintai.

“Mulai hari ini kami tidak akan berdiam diri, kami akan meluruskan apa yang telah diputarbelitkan oleh DAP dengan mengemukakan fakta-fakta yang betul, telus dan sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Menangani Cadangan DAP Untuk Menurunkan Tarif Elektrik di Hotel Kingwood semalam.

Beliau berkata, BN melancarkan kempen ini supaya rakyat dapat tahu niat sebenar DAP yang sanggup menggadaikan sebuah syarikat utiliti demi agenda politik populis mereka.

“Tindakan DAP ini bukan sahaja akan menjejaskan lebih 4,000 rakyat Sarawak yang bekerja di syarikat tersebut malah akan menghancurkan perancangan pembangunan yang telah sekian lama diusahakan oleh kerajaan BN demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Secara logiknya, tidak seperti yang difahami oleh pihak DAP kerana bekalan elektrik yang stabil bukan sahaja amat penting dalam menjana pembangunan ekonomi negeri tetapi ia merupakan pemangkin untuk menyalurkan pelbagai kemudahan dan pengetahuan kepada penduduk luar bandar.

“Oleh yang demikian, sekiranya kita terpengaruh dengan dakyah DAP ia hanya nampak menguntungkan dalam jangka pendek, tetapi dalam jangka panjang ia akan menjejaskan usaha membawa transformasi dan pembangunan apatah lagi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak,” katanya.

Justeru beliau berharap rakyat tidak akan terpengaruh dengan tuntutan DAP itu yang hanya membawa kepada kemunduran.

“Marilah kita melangkah ke hadapan dan tidak terperangkap dengan pemikiran DAP yang sempit yang hanya akan membawa kita kepada kemunduran.

“Oleh itu, katakan tidak kepada Kempen Menurunkan Tarif Elektrik oleh DAP yang tidak logik dan tidak realistik,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol. - theborneopost

No comments:

Post a Comment