Thursday, 20 March 2014

Calon BN dijangka tiada masalah pertahan Balingian

MIRI: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi terbabit.

Pemerhati politik tempatan, Wan Zain Syed Mohdzar berkata calonnya, Yussibnosh Balo dijangka mampu mempertahankan kerusi terbabit kerana ia adalah kubu kuat BN.

“Secara keseluruhannya, kita melihat tiada isu besar yang berbangkit dalam PRK DUN Balingian disebabkan konstituensi itu merupakan kubu kuat BN dan sukar digugat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata Yussibnosh mempunyai pengalaman sebagai pegawai daerah Dalat dan semestinya memahami keperluan dan kehendak pengundi di Balingian.

“Apapun, keputusan untuk meletakkan siapa yang lebih berhak memegang jawatan ADUN Balingian masih berada di tangan 13,336 pengundi pada 29 Mac ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Wan Zain melihat PRK DUN Balingian juga adalah kayu pengukur terhadap sokongan penduduk Balingian terhadap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“PRK DUN Balingian ini adalah kayu pengukur untuk melihat sokongan dan kepercayaan pengundi terhadap pucuk kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem,” jelasnya.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan pada 28 Februari lalu.

“Atas sebab itu kita melihat sekiranya BN menang besar pada PRK DUN Balingian, maka ia membuktikan bahawa pengundi Balingian masih berdiri kukuh di belakang kerajaan negeri,” katanya.

Beliau pada masa sama tetap melahirkan keyakinan BN akan menang pada PRK DUN Balingian namun jumlah majoriti mungkin berkurangan sekiranya pengundi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Sebab itu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus bekerja keras untuk memastikan kesemua 13,336 pengundi di DUN Balingian turun mengundi mereka pada 29 Mac ini,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment