Wednesday 19 March 2014

Kemenangan Yussibnosh penting teruskan pembangunan

KUCHING: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian penting bagi memastikan agenda pembangunan dan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dapat dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, sebagai kawasan luar bandar, sudah tentu tumpuan pembangunan perlu diberikan dan pengalaman Yussibnosh sebagai Pegawai Daerah Dalat akan membantu dalam memahami masalah rakyat di kawasan berkenaan.

Mukah, katanya, adalah pusat pentadbiran Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), justeru dengan sendirinya nanti institusi pengajian tinggi, lapangan terbang dan beberapa sekolah baharu akan dibangunkan.

Abdullah berkata, jika kerusi Balingian gagal dipertahankan, semua janji semasa PRN dan PRU lepas tidak akan dilaksana.

“Yussibnosh adalah anak tempatan Mukah dan pernah menjadi Pegawai Daerah. Kemungkinan besar beliau lebih memahami apa yang berlaku di peringkat akar umbi berbanding orang lain, calon dari luar, dari Bintulu.

“Pengalaman pentadbiran yang ada padanya, saya sangat yakin beliau boleh memahami apa yang dimahukan daripadanya sekiranya beliau menang. Sudah tentu saya yakin beliau akan menang di Balingian,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Majlis itu diadakan di hadapan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop bagaimanapun berkata, BN tidak boleh terlalu yakin sehingga boleh menyebabkan pengundi di situ tidak keluar mengundi.

“Seruan saya ialah semua pengundi di konstituensi Balingian, keluarlah mengundi bukan sahaja untuk memberi kekuatan kepada calon BN, tetapi sebagai tanda berterima kasih kepada bekas ADUN Balingian, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud,” katanya.

Beliau menambah, calon yang bakal mencabar Yussibnosh iaitu Abdul Jalil Bujang, 55, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan satu isu kerana selama ini penduduk di Balingian sudah bercakap mengenainya.

“Mengambil kira aspek calon adalah rakyat tempatan, beliau (Abdul Jalil) sudah tewas sebenarnya, tiada siapa mengenalinya dan sumbangannya kepada Balingian secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya.

Namun, katanya, rakyat di Balingian mengenali calon BN, mengiktiraf kerja dan sumbangannya selain seorang yang mudah mesra, rendah diri serta senang didekati.

“Sikap seperti ini menjadikan wakil rakyat itu benar-benar berjiwa rakyat, boleh ke mana sama dan bergaul dengan semua lapiran masyarakat. Semua ciri ini ada padanya.

“Inilah corak politik baharu yang kita mahu dan rakyat mahu, sentiasa bersedia mendengar masalah rakyat,” katanya.

PRK Balingian akan diadakan pada 29 Mac ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu di antara Yussibnosh, 48, dan Abdul Jalil.

DUN Balingian mempunyai 13,366 pemilih berdaftar yang layak mengundi, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal. - theborneopost

No comments:

Post a Comment