KUALA LUMPUR 1 Feb. - Semua rakyat di negara ini bertanggungjawab menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum, terutama yang berkaitan dengan aspek agama serta budaya.
Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar berkata, tugas itu perlu dipikul oleh rakyat daripada setiap kaum dan bukan hanya oleh satu-satu kaum sahaja.
Sebagai contoh, katanya, orang Melayu cukup sensitif sekiranya sesuatu majlis diadakan pada pukul 7.30 malam kerana bertembung dengan waktu solat maghrib, tetapi perkara itu jarang dihiraukan.
Begitu juga katanya, pihak penganjur kurang prihatin apabila menghidangkan daging lembu dalam mana-mana majlis yang turut dihadiri oleh masyarakat India beragama Hindu sedangkan mereka tidak makan haiwan tersebut berdasarkan kepercayaan agama itu.
"Inilah beberapa situasi yang berlaku di Malaysia. Dua contoh ini adalah berdasarkan kepada pengamatan saya sendiri. Oleh itu adalah penting bagi semua kaum di negara ini mengetahui setiap perkara yang boleh dikategorikan sebagai sensitif bagi satu-satu kaum.
"Tugas ini hendaklah dipikul oleh semua kaum tanpa ada satu pun terkecuali. Dengan kata lain, jangan hanya satu kaum diminta menjaga sensitiviti tetapi kaum- kaum lain tidak pula diminta berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi panel dalam Dialog Antara Budaya di Menara Integriti di sini hari ini.
Dialog yang pertama kali dianjurkan itu disertai kira-kira 200 peserta tempatan dan asing dan dirasmikan oleh Penaung PCORE, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Dalam perkembangan berkaitan, Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) mengakui semua pihak perlu lebih berhati-hati apabila melakukan satu-satu tindakan kerana dikhuatiri ia boleh menyentuh sensitiviti kaum lain walaupun mungkin tidak bermaksud begitu.
"Mungkin juga mereka tidak faham, tetapi bagi mana-mana pihak yang telah terlanjur seperti mana tindakan memberi angpau putih oleh ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada orang Cina baru-baru ini, saya kira mereka harus meminta maaf.
"Ini sebagai tanda penghargaan dan jiwa besar Perkasa terhadap kaum Cina," katanya lagi.
Menjawab satu soalan, Chandra turut menegaskan adalah tidak wajar mana-mana pihak cuba menyekat Perkasa daripada bercakap tentang hak mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam.
"Saya tidak setuju sekiranya hak kebebasan bersuara disekat. Adakah patut kita menghalang Perkasa bercakap tetapi pertubuhan-pertubuhan tertentu dalam kaum-kaum lain dibenarkan pula mengeluarkan pendapat mereka?
"Keadaan seperti ini tidak boleh diterima. Kita tidak boleh bersifat pilih kasih," ujarnya.
Sebaliknya, Chandra berkata, jika terdapat kenyataan-kenyataan yang disuarakan Perkasa bercanggah dengan fakta sebenar, pihak berkaitan hendaklah memberi respons dengan cara rasional dan beradab.
"Misalnya Perkasa pernah menyatakan Perlembagaan tidak membenarkan pemberian biasiswa kepada pelajar bukan Melayu. Perkara ini jelas bercanggah dan ia harus diperjelaskan dengan baik oleh pihak berkaitan," ujarnya.
Terdahulu, ketika menyampaikan pandangan sebagai ahli panel program, beliau berkata, nilai sejagat yang merujuk kepada prinsip yang didukung oleh semua budaya merupakan elemen penting dalam pembentukan identiti Malaysia.
No comments:
Post a Comment