Thursday, 2 February 2012

Rakyat digesa komited bekerja

2012/02/02

TUANKU ABDUL HALIM mengurniakan darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri kepada bekas jaguh  olahraga negara,   Marina Chin  pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan    di Istana Melawati, Putrajaya, semalam.
TUANKU ABDUL HALIM mengurniakan darjah
kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa
gelaran Datuk Seri kepada bekas jaguh olahraga
negara, Marina Chin pada Istiadat Pengurniaan
Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah
Persekutuan di Istana Melawati, Putrajaya, semalam.
 
 
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang diramalkan tidak menentu.

Baginda bertitah, rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih.
Titah baginda, keadaan ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan perdagangan dunia yang lebih perlahan.
“Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

“Jadi, seluruh rakyat Malaysia, termasuk warga Wilayah Persekutuan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 279 penerima di Istana Melawati sini, semalam.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika berucap di istiadat itu berkata, kementeriannya serta agensi di bawahnya sedang giat melaksanakan projek mega dan berimpak tinggi menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.
Beliau berkata, ia antara usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur wilayah yang maju dan berdaya saing.

Sehubungan itu, katanya, beberapa Projek Permulaan (EPP) sedang melalui fasa awal pelaksanaan, termasuk projek ‘River of Life’ (Sungai Nadi Kehidupan), pembinaan projek siar kaki, pembangunan mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur dan projek Greener KL.

“Bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam berkesan, projek MyRapid Transit laluan Sungai Buloh-Kajang juga sedang dilaksanakan,” katanya.

Raja Nong Chik berkata, tahun ini kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula Kampung Baru selaras hasrat kerajaan serta pemilik dan pewaris tanah mahu kawasan penempatan Melayu yang strategik dan bersejarah itu dibangunkan dengan mengekalkan ciri sedia ada.

“Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 sudah mendapat perkenan Tuanku. Melalui akta ini Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ditubuhkan bagi memaju menyelaras dan menyelia pembangunan di Kampung Baru,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian akan terus melaksanakan program menyediakan bantuan secara langsung kepada golongan miskin bandar dengan menyediakan bantuan sewa rumah, membina dan membaiki rumah serta mengadakan program pembangunan modal insan untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya dapat menambah pendapatan.

No comments:

Post a Comment