Oleh ASHLEY ANGGAT
utusansarawak@utusan.com.my
Amar Mohamad Asfia Awang Nassar (tengah) bersama Abdul Taib Mahmud
(dua dari kiri) dan peserta berarak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri
di Miri, semalam.
MIRI 5 Feb. - Umat Islam digesa terus mempertahankan perpaduan dan memperkasakan landasan untuk menyebar fahaman Islam bagi menghadapi perubahan corak serta gaya hidup zaman moden sekarang.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, umat Islam juga hendaklah menyesuaikan diri, mendalami dan memperluaskan fahaman agama mereka supaya tidak tersasar dan ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan.
Bagaimanapun ketika mengejar arus kemodenan itu, katanya, mereka mesti mempersiapkan diri dengan nilai-nilai terpuji seperti diterjemahkan dalam pengajaran al-Quran dan sunnah.
"Usaha kita orang Islam untuk menyesuai diri dengan pertukaran zaman adalah suatu tugas yang amat berat sekali, kalau kita tidak menjalankannya dengan cukup baik, rakyat kita terpaksa bertukar tetapi dengan cara yang tidak sihat.
"Oleh itu, soal mendukung dan memelihara nilai-nilai Islam itu adalah yang paling penting dan menepati slogan untuk tahun ini iaitu Persefahaman Adalah Asas Perpaduan. Perpaduan tidak akan dapat teguh kalau kita tidak bersatu padu," katanya ketika Merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Miri, di sini hari ini.
Sambutan berkenaan dihadiri oleh Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menteri dan menteri muda negeri.
Sementara itu, sebanyak 138 kontinjen membabitkan kira-kira 10,000 peserta berarak sejauh empat kilometer bermula dari Stadium Miri mengelilingi bandar raya ini.
Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, usaha untuk memperdalam dan menyebarkan fahaman Islam di negara ini telah dilaksanakan dengan begitu baik melalui kerjasama semua pihak.
Katanya, usaha tersebut diperkasakan dengan penubuhan Pusat Al-Quran untuk menyebar dan mendalami ajaran Islam yang ada kaitan dengan nilai-nilai yang paling baik untuk menyesuaikan pemikiran penganutnya dengan perubahan zaman.
"Apa pun penyelesaian yang boleh dicapai, ia bergantung kepada kekuatan nilai yang dapat didokong masyarakat Islam sendiri.
"Kalau orang Islam menyedari nilai diperjuangkan itu baik dan dapat menyelesaikan masalah dalam masyarakatnya dan dapat memperjuangkan keadilan sosial, maka kita dapat melaksanakan atau berhadapan dengan apa sahaja perubahan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment