Tuesday, 7 February 2012

Minda Pengarang: Syor naik gaji minimum di Sabah, Sarawak tampung kos hidup


2012/02/07

MEMANDANGKAN kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah wajar Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) mengkaji semula kadar gaji minimum untuk Sabah dan Sarawak. Malah mengikut perkiraan biasa, kos sara hidup di Sabah dan Sarawak dikatakan jauh lebih tinggi berbanding dengan beberapa negeri di Semenanjung. Justeru, pandangan majlis berkenaan yang dibentangkan kepada Kabinet baru-baru ini seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan bagi merangka satu formula baru yang lebih munasabah untuk menentukan kadar gaji minimum bagi kedua-dua negeri berkenaan.

Akhbar ini kelmarin melaporkan Jemaah Menteri mengarahkan MPGN supaya bermesyuarat semula untuk mengkaji kadar gaji minimum sebanyak RM770 yang ditetapkan pada mesyuarat akhirnya Disember lalu. Keputusan itu selaras dengan kehendak rakyat dan langkah tepat dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin menekan golongan berpendapatan rendah. Mengambil kira harga barangan dan kos perkhidmatan yang lebih tinggi di kedua-dua negeri berkenaan, adalah wajar satu kadar gaji minimum yang lebih munasabah ditetapkan bagi Sabah dan Sarawak. Kadar minimum ditetapkan itu sepatutnya diselaraskan atau melebihi kadar di Semenanjung, iaitu RM900 sebulan berbanding RM770 yang dicadangkan sebelum ini.
Kita berharap MPGN yang turut dianggotai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang dijangka bermesyuarat lagi Jumaat ini mengambil kira semua faktor berkaitan dalam merumuskan gaji minimum itu. Menurut laporan, pada 2010 ada 2.2 juta pekerja swasta di negara ini yang menerima gaji pokok di bawah paras RM1,000 sebulan, manakala kira-kira 1.8 juta lagi memperoleh pendapatan RM750 sebulan di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar RM440 sebulan. Kita berharap dalam usaha menetapkan kadar baru gaji minimum itu, pihak terbabit harus teliti dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa secara komprehensif seperti kos hidup, kadar kemiskinan, tekanan inflasi, indeks pengguna, kadar pengangguran serta produktiviti pekerja.
Selain itu, kajian MPGN dan Kementerian Sumber Manusia juga harus memikirkan jangkaan perubahan ekonomi yang akan berlaku pada masa depan memandangkan kadar gaji minimum itu akan diguna pakai untuk satu tempoh lama selepas ini. Memandangkan gaji minimum baru itu akan memberi manfaat kepada lebih lima juta pekerja sektor swasta di negara ini, adalah diharapkan kajian semula dapat menghasilkan satu kadar yang berdaya mampu. Kedua-dua pihak perlu menghasilkan keputusan bijak dan adil agar rakyat Sabah dan Sarawak tidak berasa dianaktirikan kerana mereka juga memberi sumbangan sama penting dalam memajukan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment