KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel dalam temu bual dengan The Wall Street Journal (WSJ) disifatkan sebagai amat berbahaya dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, kenyataan tersebut jelas memperlihatkan sikap sebenar Anwar apabila berurusan dengan rejim Zionis itu dan tidak mustahil Israel akan dibenarkan campur tangan dalam urusan pentadbiran Malaysia jika ketua pembangkang itu menerajui pemerintahan negara.
Beliau berkata, rakyat perlu memikirkan perkara itu secara rasional kerana pemimpin pembangkang itu dalam wawancara berkenaan memberikan reaksinya secara sukarela dan tanpa tekanan mana-mana pihak.
"Inilah sikap sebenar Anwar. Beliau sebenarnya merupakan penyokong Israel dan wawancaranya dengan WSJ merupakan bukti yang memperlihatkan sokongan Anwar terhadap rejim Zionis itu.
"Orang seperti ini tidak boleh menjadi pemimpin utama negara. Selain itu sifatnya yang talam dua muka juga perlu difikirkan dengan rasional. Adakah WSJ tersalah petik kenyataannya?" soalnya sinis.
Pada Khamis lalu, Anwar dipetik berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."
Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
No comments:
Post a Comment