Monday, 6 February 2012

Kembali kepada nilai Islam


by Clare Cinderella. Posted on February 6, 2012, Monday
PEMIMPIN: Taib, Asfia dan Daud mengetuai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Miri, semalam.
PEMIMPIN: Taib, Asfia dan Daud mengetuai perarakan sempena Sambutan
Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Miri, semalam.

Demonstrasi bukan cara tuntut demokrasi, isikan perjuangan dengan sumber Islam

MIRI: Rakyat di negeri ini khususnya umat Islam diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang usaha atau pergerakan yang boleh merosakkan negara terutama terhadap perkara dan pembangunan terbaik yang telah dicapai negara sejak sekian lama.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara Islam seperti Tunisia, Libya, Mesir, Yaman dan Syria yang menyaksikan pertumpahan darah dan penggulingan kerajaan yang tidak sepatutnya melalui demonstrasi jalanan.
Umat Islam sebaliknya perlu mengisi perjuangan dengan nilainilai yang baik daripada sumber Islam dengan memperkuatkan usaha untuk membawa satu perubahan yang baik dalam negara dengan cara yang aman kerana jika tidak maka rakyat akan teraba-raba dan terheret ke dalam pergerakan yang berpura-pura seperti demonstrasi.
“Oleh sebab itu, sedarilah kita umat Islam, bahawa kita perlu kembali kepada nilai Islam menerusi usaha menghidup dan memperluaskan kefahaman terhadap ajaran al-Quran.
“Kita juga harus memperdalamkan kefahaman kita mengenai sunah-sunah nabi yang menunjukkan bagaimana ajaran Islam yang ada dalam Al-Quran dapat dihidupkan selama-lamanya,” ujar beliau.
Dengan demikian katanya, negara sudah ada strategi sendiri untuk menjalankan perubahan yang membawa kebaikan kepada masyarakat dengan menggunakan nilai-nilai Islam yang akan dikukuhkan dengan lebih mendalam lagi dan ditafsirkan dengan pengalaman yang berjaya dalam memimpin negara ini.
Taib berkata demikian sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di sini, semalam.
Sambutan itu turut dihadiri oleh Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, isteri Ketua Menteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan pengerusi penganjur sambutan peringkat negeri merangkap Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Menurut Ketua Menteri, jika fahaman orang Islam pada hari ini terutama di negara-negara yang bergolak, menuruti nilai-nilai baik dalam ajaran Islam yang boleh menolong mereka berjuang untuk negara dan menyelesai masalah rakyatnya dan membawa keadilan kepada semua rakyat, maka umat Islam akan dapat melaksanakan apa saja perubahan.
“Oleh sebab itu soal mendukung dan memelihara nilai-nilai Islam itu adalah soal yang paling penting,” katanya.
Justeru katanya, slogan sambutan tahun ini iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah adalah amat tepat sekali dalam mengukuhkan perpaduan ummah dan rakyat di negara ini dan melalui perkongsian serta bersetuju terhadap nilai-nilai paling baik dalam menentukan arah perjuangan rakyat.
“Ada nilai-nilai yang kita junjung tinggi kerana ia dapat menjadi panduan bagi diri kita, menyatu padu usaha umat Islam dengan cara yang sempurna, selamat dan mendorong nilai-nilai murni dalam perjuangan kita,” tambahnya.
Sebanyak 138 kontinjen yang melibatkan 9,000 peserta dari seluruh negeri telah mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.

No comments:

Post a Comment