Monday, 6 February 2012

179 YB di tangan pengundi muda

Oleh Mohd Idris Sulaiman
bhnews@bharian.com.my
2012/02/06

Pemuda UMNO lipat ganda usaha daftar ahli sebagai pengundi hadapi PRU-13 

PARIT: Pemuda UMNO mendedahkan 179 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang, bakal ditentukan golongan muda berusia bawah 40 tahun.
Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO Malaysia, Hisamuddin Yahaya, berkata bagi menghadapi fenomena itu, Pemuda UMNO perlu memastikan 40,000 ahlinya yang masih belum mendaftar sebagai pengundi didaftarkan segera.
“Malah, bagi mencapai matlamat itu, semua Ketua Pemuda UMNO Bahagian sudah diarah supaya turun padang untuk mendaftarkan mereka secepat mungkin bagi memastikan ahli Pemuda UMNO dapat memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13. 

“Kita juga akan memberi tumpuan khusus di Sabah kerana lebih 20,000 daripada 40,000 ahli Pemuda UMNO di negeri itu masih belum mendaftar sebagai pengundi. 

“Kajian mendapati kebanyakan mereka gagal mendaftar kerana berhijrah ke Semenanjung, selain lokasi penempatan mereka jauh di pedalaman dan pulau terpencil,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Badminton Sekolah-Sekolah Daerah Perak Tengah di Dewan Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaakob, di sini, semalam. 

Hisamuddin juga meminta Jawatankuasa Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO meneruskan usaha mencari dan mendaftarkan ahli baru walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum mengumumkan tarikh pilihan raya. 
“Kita tidak mahu jawatankuasa memberhentikan usaha mendaftar pengundi kerana tarikh pilihan raya masih belum diumumkan lagi. Malah, Pergerakan Pemuda menjadikan pendaftaran ahli dan pengundi baru khususnya di kalangan anggota UMNO dan pendaftaran pengundi muda sebagai fokus utama. 

“UMNO bahagian juga diharap dapat meneliti senarai keahlian mereka bagi memastikan semua ahli yang berusia 21 tahun dan layak mengundi diingatkan untuk segera mendaftar sebagai pengundi,” katanya. 

Hisamuddin berkata, sehingga kini seramai 600,000 ahli Pemuda berjaya didaftarkan sebagai pengundi dan jika semua pengundi terbabit keluar mengundi pada PRU-13 nanti, BN boleh menguasai dua pertiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan. 

No comments:

Post a Comment