Monday 22 October 2012

Willie disenarai antara calon PKR di Mambong

KUCHING: Calon tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengoh pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Ke-10 yang lepas, Willie Mongin disenaraikan sebagai antara bakal calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Mambong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Selain beliau, dua lagi nama lain turut disenaraikan namun tidak didedahkan.

Cadangan PKR Cabang Mambong itu sudah pun diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri sebelum ia kemudiannya diserahkan kepada PKR Pusat.

“Kami masih belum tahu lagi tapi sudah diberi arahan untuk turun padang bagi mendapatkan sokongan rakyat,” kata Willie yang ditemui pada majlis makan malam bertemakan ‘Menyemai Semangat Reformasi’ bersama pemimpin-pemimpin PKR baru-baru ini.

Turut menghadiri majlis itu ialah Naib Pengerusi PKR Pusat yang juga bekas Duta Malaysia Datuk John Tenawi Nuwek, Naib Ketua Wanita PKR Pusat Voon Shiak Nii, Naib Pengerusi PKR Negeri merangkap ADUN Batu Lintang See Chee How, Pemangku Ketua PKR Cabang Mambong Alexander Mande dan Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen.

Willie yang merupakan anak kelahiran Kampung Bratan, Batu 16, Jalan Puncak Borneo melalui pengalaman pertama kalinya bertanding dalam pilihan raya di mana beliau tewas kepada bapa saudaranya, yang kini merupakan Menteri Muda Kesihatan Awam dan penyandang DUN Bengoh bagi tempoh penggal ketiga Dr Jerip Susil.

Parlimen Mambong yang kini penyandangnya Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit merangkumi dua kawasan DUN iaitu DUN Bengoh dan DUN Tarat yang masing-masing disandang oleh Dr Jerip dan Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Sementara itu, John dalam ucapannya berkata kemenangan di tiga kerusi Parlimen majoriti Bidayuh iaitu Mambong, Mas Gading dan Serian merupakan misi penting Pakatan Rakyat pada PRU13 ini nanti.

“Mambong, Mas Gading dan Serian adalah penting kerana kemenangan di ketiga-tiga kawasan Parlimen ini boleh membawa perbezaan yang besar,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bagi menawan ketiga-tiga kerusi tersebut, PKR Negeri harus menyediakan calon boleh menang, mempunyai jentera parti yang efisien dan menyebarkan dasar parti dengan baik.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment