Tuesday 16 October 2012

PRS yakin pertahan Julau

Pengumuman SWP bahawa Wong Judat akan bertanding tidak membimbangkan, kata Masing

SAMARAHAN: Tanpa mengira siapa lawan, Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan dapat mempertahankan kerusi Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Presidennya Tan Sri James Masing.

Sehubungan itu, Masing yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah menyifatkan pengumuman Parti Pekerja Sarawak (SWP) bahawa Wong Judat akan bertanding di konstituensi tersebut pada PRU13 ini adalah tidak membimbangkan.

“Kami tidak boleh bimbang apa yang orang lain lakukan sebaliknya kami hanya melakukan apa yang kami perlu lakukan.

“Kami percaya mampu mempertahankan Julau dan Wong Judat boleh bertanding jika dia mahu.

“SWP boleh meletakkan sesiapa sahaja yang mereka mahu dan ia tidak membimbangkan kami… kami akan melawan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Amatur Terbuka Sarawak Master di Sarawak Club Golf Resort, di sini semalam.

Julau merupakan satu daripada enam kerusi Parlimen di bawah PRS dan penyandangnya kini ialah Datuk Joseph Salang Gandum, yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Presiden SWP Larry Sng pada Sabtu lepas mengumumkan semasa perhimpunan di Rumah Ganda Manding, Jalan Wak Pakan bahawa SWP akan meletakkan Wong untuk bertanding di Julau pada PRU13 nanti.

Pengumuman itu juga membawa Wong yang merupakan ADUN Meluan dan bekas Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) sebagai calon pertama SWP yang disahkan.

Berhubung laporan bahawa SWP menggunakan serangan peribadi terhadap wakil rakyat PRS semasa majlis mereka, Masing berkata ia tidak membimbangkan mereka.

“Mereka boleh memberitahu apa jua pembohongan yang mereka ada kerana kami tidak terlibat dalam apa-apa perkara ini.

“Mengapa kami perlu bimbang… kami tidak boleh menghentikan orang untuk berbohong.

“Selagi kami tidak melakukannya kami tidak perlu bimbang,” tegas Masing bagi menjawab bahawa kemungkinan serangan peribadi sedemikian akan mewujudkan persepsi negatif kepada rakyat.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment