Monday 1 October 2012

Pemimpin pembangkang sifatkan Sarawak terus dianaktirikan

KUCHING: Pembangkang melihat Sarawak terus dianaktirikan dalam ‘semanis-manis’ Belanjawan 2013 yang turut disifatkan bakal melonjakkan hutang negara kerana tidak memberi banyak penekanan khasnya dari segi infrastruktur.

Sambil menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 mengecewakan, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Wong Ho Leng berkata, sementara Semenanjung Malaysia mendapat pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kawasan pedalaman di Sarawak pula hanya menerima tangki air berbanding diberi projek pembinaan struktur penyimpanan air yang kekal.

“Perkara ini tidak memberi banyak manfaat kepada penduduk Sarawak, khususnya dalam jangka masa panjang kepada penduduk kawasan pedalaman.

“Seperti mana yang kita sedia tahu, banyak yang perlu dibangunkan seperti jalan raya, bekalan air dan juga elektrik,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu turut melahirkan kekesalan kerana tidak ada satu sen diperuntuk bagi menaik taraf jalan raya Pan Borneo, walhal ia amat memerlukan perhatian dan telah melibatkan banyak kemalangan.

Berhubung subsidi tong gas yang diberikan kepada penduduk Sarawak pula, beliau memberitahu ia tidak memadai malah perlu dijual dengan harga lebih murah memandangkan negeri ini adalah pembekal minyak dan gas.

“Tetapi nampaknya orang tengah, seperti dalam sektor pengangkutan mengambil kesempatan dari perkara tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 itu sebagai cara meraih undi semata-mata serta mempersoalkan sumber wang yang bakal digunakan untuk membiayai belanjawan tersebut.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi Malaysia untuk mencontohi Singapura dengan belanjawan sedemikian kerana negara jiran tersebut mempunyai surplus sementara negara ini berhadapan dengan hutang melebihi RM500 bilion.

“Rakyat mahu tahu bagaimana kesemua projek disebut dalam bajet itu dibiayai, adakah ia bermakna dana KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) akan digunakan?

“Tidak wajar untuk menggunakan wang bagi membeli undi apabila wang itu sebenarnya tidak ada,” katanya.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian turut sependapat dengan Wong bahawa bajet itu ‘jelas merupakan bajet pilihan raya’ dan pada masa yang sama, agak menakutkan.

Peruntukan khas yang diberikan untuk Sabah dan Sarawak juga sekali gus mencerminkan kerana negeri ini dianggap kubu kuat bagi BN, katanya.

“Apa yang menakutkan adalah dalam ‘semanis-manis’ bajet ini, hutang negara meningkat kepada RM502 bilion.

“Bajet itu turut menimbulkan persoalan tadbir urus yang baik, pemimpin bersih dan telus yang mana merupakan isu utama untuk negara ini,” katanya sambil menambah terpulang kepada rakyat untuk menilai.

No comments:

Post a Comment