Wednesday 31 October 2012

PRU13: Wakil rakyat BN sentiasa bersedia

BAU: Sama ada senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diumumkan lebih awal atau tidak, wakil rakyat BN di Sarawak tetap terus bersedia untuk menghadapinya.

Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, ia merupakan amalan Ahli-ahli Parlimen di negeri ini untuk sentiasa turun padang bersama rakyat dari awal.

“Pengumuman senarai calon adalah terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi BN iaitu pengerusi BN.

“Jika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mahu senarai calon dihantar kepada beliau, maka semua presiden parti komponen BN menghantar senarai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Regata Jong Bau 2012 yang diadakan di Tasik Biru di sini, semalam.

Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan berkata, walaupun setiausaha agung BN Pusat telah menyatakan perkara berkenaan namun sebelum Parlimen dibubarkan maka pengumuman belum dapat diketahui.

“Namun bagi saya dan Ahli Parlimen lain kami akan terus memberi khidmat kepada rakyat dan turun padang sejak awal lagi terutama pada hujung minggu.

“Semua wakil rakyat di Sarawak memang sentiasa bersedia dan apabila pilihan raya diadakan kami terus berkempen dengan lebih strategik lagi,” tegas beliau.

Sementara itu semalam satu laman sesawang menyatakan bahawa BN tidak menolak kebarangkalian untuk mengumumkan senarai nama calon yang bakal bertanding pada PRU13 lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengesahkan pengumuman ini bukan sahaja melibatkan calon UMNO semata-mata, akan tetapi merangkumi kesemua senarai daripada parti komponen yang terlibat.

“Ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya dan hanya sedikit perbezaan pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya sambil memberitahu, keputusan rasmi bakal diperolehi menerusi budi bicara dan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN.

No comments:

Post a Comment