Tuesday 16 October 2012

Penduduk Parlimen Selangau digesa bersatu sokong BN


BANTUAN: Entulu (kiri) menyampaikan geran MRP kepada Tuai Rumah Jackson Ngumbang (kanan) di Selangau.


SELANGAU: Penduduk di kawasan Parlimen Selangau digesa mengekalkan perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat majmuk dengan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membela nasib rakyat.

Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun berkata rakyat wajar menyokong transformasi kerajaan dalam usaha melaksanakan pelbagai pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Beliau turut menasihat penduduk di sini agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda dan dakyah pembangkang yang disifatkan sebagai agenda politik mereka semata-mata.

“Kita harus mengetepikan dakyah pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka menghasut pemikiran rakyat demi mencapai kepentingan politik.

“Justeru, rakyat yang inginkan kemajuan dan pembangunan perlu memberi sokongan penuh kepada kerajaan demi kemakmuran,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jackson Ngumbang, Nanga Dangih, Sungai Pakoh, Selangau, malam kelmarin.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited terhadap keperluan dan permasalahan yang dihadapi rakyat tanpa mengira di bandar mahupun di luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai program bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), persekolahan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya untuk membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat.

“Ini jelas kerajaan sentiasa komited terhadap keperluan rakyat. Apa yang penting rakyat terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan untuk membangunkan negara ini, khususnya di Parlimen Selangau,” tegasnya.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, kerajaan sedang giat merencana dan melaksanakan projek pembangunan yang merangkumi kemudahan dan keperluan rakyat.

“Pelaksanaan projek secara berperingkat-peringkat dan memerlukan masa untuk sampai ke semua tempat yang dirancangkan. Maka, pentingnya rakyat bersabar menanti pelaksanaan projek terbabit,” ujar Entulu.

Pada majlis itu, Entulu menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jackson Ngumbang.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh, Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang dan Penghulu Michael Jalani.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment