TATAU 30 Sept - Para pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihat supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan pembangkang bahawa mereka akan rugi sekiranya menyertai mana-mana projek pembangunan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Kemajuan Tanah negeri, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, pembangkang selama ini menghasut rakyat agar menentang pelbagai projek pembangunan tanah NCR sedangkan usaha itu terbukti dapat memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar.
"Apabila menyertai projek pembangunan tanah NCR, keistimewaan atau kuasa yang mutlak rakyat sebagai pemilik tanah tidak akan hilang.
"Selain itu, keuntungannya juga dapat dinikmati bersama-sama oleh semua pihak iaitu pemilik tanah, pelabur atau pemaju serta agensi kerajaan yang mengendalikan projek tersebut," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Tanah NCR di Sungai Sidang/Kelebu, di sini hari ini.
Projek usahasama pemilik tanah NCR dan Lembaga Pembangunan Perlindungan Tanah Sarawak (Pelita) itu melibatkan sebanyak 65 projek berasingan di kawasan seluas 562,000 hektar.
Pelita yang bertanggungjawab membantu pemilik di kawasan itu memajukan tanah NCR mereka setakat ini telah mengusahakan kawasan tanaman kelapa sawit di kawasan seluas 62,387 hektar melibatkan lebih 11,000 peserta.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab menasihatkan para pemilik yang terlibat dengan projek pembangunan itu supaya bersabar menunggu hasil pulangan yang hanya akan diperoleh dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, di samping menyertai projek pembangunan tanah yang dikendalikan oleh agensi kerajaan negeri, pemilik tanah juga perlu mengambil inisiatif mengusahakan sendiri tanah masing-masing.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment