Tuesday 9 October 2012

Paulus tegaskan beliau masih wakil rakyat Barisan Nasional

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang semalam tampil menjelaskan bahawa beliau masih lagi menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sekali gus menjawab segala persoalan dan tanda tanya di kalangan rakyat di konstituensinya.

“Saya masih menjadi wakil rakyat BN sehingga pilihan raya akan datang dan hanya wakil rakyat BN sahaja yang diberi peruntukan oleh kerajaan untuk diagih-agihkan kepada rakyat,” katanya.

Paulus berkata sebelum ini ramai rakyat khususnya di kawasannya yang musykil mengenai kedudukan sebenarnya sebagai wakil rakyat.

“Saya berharap dengan penjelasan itu dapat menjawab sebarang kemusykilan dan persoalan yang ditimbulkan sebelum ini,” katanya pada penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) daerah Limbang di Pejabat Daerah Limbang semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Anyi Ngau dan Pemanca Nicholas Buyok.

Menyentuh mengenai penyerahan geran itu, Paulus mahu peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri kepada penerima membabitkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita bukannya institusi kewangan yang berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling banyak duit dalam akaun. Tetapi peruntukan yang diluluskan itu sewajarnya digunakan untuk melaksana aktiviti tahunan kita,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa mereka tidak perlu menyimpan duit yang banyak dalam akaun kerana tidak menepati tujuan sebenar pemberian geran.

“Setiap penerima geran perlu membelanjakan peruntukan tersebut dan bukannya hanya menyimpannya dalam akaun, justeru setiap perbelanjaan tahunan itu perlu dihantar ke Pejabat Daerah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa terdapat perubahan dalam tatacara meluluskan peruntukan melibatkan JKKK, NGO, persatuan dan kelab berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Paulus berkata setiap bank tidak akan menerima kesilapan nama penerima cek atau nama penerima yang tidak sama dengan nama akaun masing-masing.

“Setiap penerima perlu memastikan nama mereka adalah sama dengan nama penerima dalam buku akaun bagi memastikan cek mereka diterima pihak bank.

“Jika berlakunya kesilapan ia boleh menyebabkan cek mereka ditolak dan sekiranya keadaan ini berlaku ia akan mengambil masa lama dan penerima terpaksa merujuk balik kepada pusat yang meluluskan peruntukan terbabit,” katanya sambil memberitahu terdapat sesetengah kes mengambil masa lima hingga enam bulan.

Justeru, beliau menasihatkan agar setiap permohonan dikempilkan bersama dengan salinan buku akaun bagi mengelak kesilapan sama berulang.

Seramai 47 penerima telah menerima geran terbabit dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM324,000.

Pada majlis sama, Paulus turut menyampaikan sijil kepada lima bekas ketua masyarakat dan satu sijil pelantikan ketua masyarakat baharu iaitu Mandan Balik sebagai Ketua Kampung Ranggu.


No comments:

Post a Comment