Tuesday 9 October 2012

Abaikan fitnah Jawah: Uggah

Penduduk Lubok Antu diseru terus menyokong Nyalau

LUBOK ANTU: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas melahirkan rasa kesal dengan tindakan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang yang memburuk-burukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan Lubok Antu.

Menurutnya, tindakan Jawah yang cuba menyerang peribadi Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak semasa berucap dalam ceramah politik sekitar rumah panjang di kawasan Parlimen Lubok Antu sebenarnya adalah bersifat politik.

“Apa yang dikatakan Jawah itu adalah bohong maka saya berharap anda semua di kawasan Parlimen Lubok Antu sedar bahawa ia merupakan taktik yang cuba meraih undi untuk keuntungan politik dirinya,” katanya.

Uggah selaku Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama RELA (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Lubok Antu kelmarin.

Uggah berkata demikian bagi merujuk kepada cerita Nyalau semasa berucap pada majlis yang sama yang mengatakan bahawa bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang mewakili Parti Pekerja Sarawak (SWP) menabur fitmah dan memburukkan peribadinya (Nyalau) semasa berucap di rumah panjang sekitar Lubok Antu baru-baru ini.

Semasa berucap di Rumah Merebong dan Rumah Tak, Skim Merindun, Engkilili, Jawah melemparkan pelbagai tuduhan sambil menyerang peribadi Nyalau.

Jawah dan Nyalau berasal dari Rumah Lepang Gerang dan mempunyai pertalian saudara antara satu sama lain.

Selain itu beliau juga mahu penduduk Lubok Antu sedar bahawa mereka masih memerlukan kerajaan BN untuk meneruskan rentak pembangunan di kawasan penempatan masing-masing.

“Berilah sokongan kepada Nyalau sekiranya beliau diberikan kepercayaan untuk mengibarkan bendera BN pada PRU13 akan datang demi masa depan pembangunan kawasan Lubok Antu,” katanya.

Uggah juga menasihati ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Lubok Antu untuk turun padang bagi membantu Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempertahankan kerusi Parlimen milik BN itu pada PRU nanti.

Dalam majlis itu Uggah memperuntukan projek kecil luar bandar berjumlah RM23,000 kepada pasukan RELA Daerah Lubok Antu.

Turut hadir pada majlis itu Nyalau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili Dr Johnnical Rayong, Pengarah RELA Sarawak Brigedier Jeneral (RELA) Rini Tupong, Pegawai Daerah Lubok Antu Jack Aman Luat dan Pegawai RELA Daerah Lubok Antu Leftenan Kolonel Silon Janda.

No comments:

Post a Comment