Tuesday 2 October 2012

Kepimpinan BN disokong



FESTIVAL: Henry (tujuh kiri), Liaw (sembilan kiri) bersama-sama jawatankuasa persatuan memotong kek bulan di Lawas malam kelmarin.


LAWAS: Persatuan Kebudayaan Cina Lawas berikrar akan terus memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak menyediakan program pembangunan bagi memastikan daerah Lawas terus membangun.

Pengerusinya Kaunselor Liaw Ho Peng berkata masyarakat Cina sememangnya banyak terhutang budi kepada pemimpin khususnya Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung yang berkhidmat untuk kebaikan semua kaum.

“Kita berasa amat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat. Awang Tengah dan Henry sentiasa berusaha dan memberi kemajuan kepada Lawas.

“Sememangnya kita terhutang budi dan patut berterima kasih kepada pemimpin kita kerana membawa banyak kebaikan kepada masyarakat Cina di sini,” katanya pada Festival Kuih Bulan, di sini malam kelmarin.

Justeru katanya, masyarakat Cina perlu memberi sokongan padu kepada pemimpin terbabit demi memastikan kesinambungan daerah ini terus membangun.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Henry yang hadir memeriahkan festival itu yang turut dihadiri pelbagai kaum untuk menyaksikan salah satu kebudayaan kaum Cina.

Liaw berkata, Perayaan Kuih Bulan dirai sempena ulang tahun ke-25 persatuan itu ditubuhkan iaitu pada 1997.

Program itu merupakan aktiviti tahunan mereka, selain memberi peluang kepada semua masyarakat di sini menghayati dan merasai adat resam antara kaum.

“Melalui program ini, kita dapat berkumpul bersama-sama mengeratkan hubungan antara satu sama lain tanpa kira kaum, agama dan budaya.

“Ini menunjukkan kita bekerja, berganding bahu dan bersama-sama hormat-menghormati agar masyarakat di sini terus hidup dalam suasana harmoni dan aman,” jelasnya.

Acara malam tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian naga, tarian kebudayaan dan persembahan bunga api selain persembahan tarian singa jemputan dari Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment