Tuesday, 2 October 2012

Perubahan, kemajuan memerlukan kerjasama pemimpin, rakyat


BERJIWA RAKYAT: Taib (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakam ‘pose’ istimewa bersama seorang penjaja pada majlis perasmian Pasar Komuniti Stutong, semalam.


KUCHING: Rakyat Sarawak harus bersedia menerima perubahan dan kemajuan serta bekerja sama rapat dengan kerajaan jika mahu menikmati manfaat daripada pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata setiap pembangunan dijalankan kerajaan memerlukan penglibatan dan penilaian rakyat terhadap kemajuan dikecapi hari ini serta kemungkinan yang berlaku pada masa depan.

Beliau berkata semua orang mahukan perubahan dan kemajuan tetapi mungkin ramai tidak tahu bahawa perubahan dan kemajuan amat bergantung kepada kerjasama yang baik antara pemimpin dan rakyat.

“Rakyat Sarawak harus bersedia untuk berubah dan paling penting bekerjasama de-ngan kerajaan.

“Parti politik apa yang anda pilih itu adalah urusan peribadi anda… kami dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) masih kekal harmoni kerana ahli kami rata-rata-nya daripada mereka yang kurang berkemampuan.

“Mereka tahu mengenai masa depan, mereka mahu bekerjasama dengan kerajaan dan ramai daripada mereka sekarang sudah maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Komuniti Stutong di sini semalam.

Taib yang juga presiden PBB dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berkata kerajaan yang mempu-nyai sumber kewangan kukuh juga tidak dapat membawa perubahan dan kemajuan jika rakyat tidak mahu bekerjasama.

“Kalau negeri ini tidak maju seperti zaman koloni dahulu, tiada perubahan dan kemajuan, maka tiada isu untuk di-persoal dan diperdebatkan… tetapi sekarang kita tahu kalau kita tidak berfikir lima atau 10 tahun ke hadapan, negeri ini tidak akan berubah serta maju,” ujarnya.

Menurutnya pemimpin-pemimpin negeri ini mesti boleh melihat serta meramal masa depan dan jika pemimpin tidak berani bercakap benar dan tidak mahu membawa rakyat bersama-sama melihat masa depan, pemimpin itu ti-dak boleh membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat, juga negeri khususnya.

Beliau berkata pembangunan pesat yang berlaku di Samarahan ketika ini harus dijadikan teladan oleh rakyat di bahagian atau kawasan lain di negeri ini dan bukti kerja-sama erat antara rakyat di situ dengan pemimpin khasnya serta kerajaan amnya.

“Pertama kali saya datang ke Samarahan (sebagai Ahli Parlimen) tidak ramai pelajarnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di situ… sekarang ini sudah ada 200 graduan setiap tahun selepas saya memberitahu ibu bapa di situ agar menggalakkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Disebabkan orang Samarahan percaya dengan nasihat pemimpin dan mahu senang, taraf hidup rakyat di sana sudah berubah dan banyak pembangunan dapat dilihat, pusat komersial, kediaman dan sebagai bandar ilmu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Pasar Komuniti Stutong, Taib berkata kejayaan pasar itu sebagai salah satu model pasar komuniti terbaik di Malaysia adalah berkat kesabaran serta kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan peniaga.

“Tahniah kepada anda semua, walaupun saya tahu pada awal permulaan perniagaan anda tidak begitu baik tetapi semua aspek tidak baik itu sudah berlalu dan semua perkara baik kini muncul yang dinikmati peniaga dan pelanggan,” ujarnya.

Beliau berkata pada awal ramai pihak tidak memahami tujuan kerajaan memindahkan pasar itu yang mulanya terletak di Jalan Gambier ke lokasi sekarang kerana mereka tidak melihat perubahan masa depan.

Kerajaan negeri katanya sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina bangunan Pasar Komuniti Stutong kerana mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan peniaga.

“Semua ini mungkin tidak nampak semasa kita memindahkan pasar ini dari Jalan Gambier ke sini. Kalau kita fikir kembali kita akan sedar Jalan Gambier tidak boleh lagi menjadi tumpuan ramai pelanggan kerana keadaan di situ semakin sesak ekoran jumlah penduduk bandar ini hampir sejuta orang.

“Kerajaan mengambil keputusan memindahkan pasar ini kerana tidak mahu masalah kesesakan yang teruk berlaku, yang akhirnya menjejaskan hasil jualan peniaga disebabkan masalah letak kereta dan orang tidak mahu datang ke sana berjalan kaki seperti dahulu,” jelasnya.

Hadir sama pada majis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong, menteri-menteri kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan.

No comments:

Post a Comment