ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak bersedia mempertahankan kerusi P203 Lubok Antu sekiranya diberi peluang untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Nyalau berkata, beliau bersedia untuk mengibarkan bendera Barisan Nasional (BN) bagi kerusi P203 Lubok Antu sekiranya dicalon semula untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Bagi tidak mengecewakan rakyat yang sudah memilih saya menjadi menjadi wakil rakyat maka saya harus bekerja untuk rakyat,” katanya.
Nyalau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Program Sembang-sembang Mesra Belia di Rumah Changgai, Selindung Ili, dalam daerah kecil Engkilili, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal (JASA) Bahagian Sri Aman dan Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman.
Dalam majlis itu Nyalau turut memperuntukkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Changgai, Selindong Ili dan RM3,000 kepada Biro Wanitanya.
Nyalau berkata, bagi memastikan projek-projek pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar maka rakyat harus terus memberi sokongan padu dan kerjasama dengan kerajaan BN.
“Oleh sebab itu ketua-ketua masyarakat termasuk rakyat berperanan penting sebagai penyalur maklumat kepada kami bagi membantu kami memastikan rancangan pembangunan berjalan lancar,” katanya.
Pada PRU 2008, Nyalau menewaskan calon Bebas Nicholas Bawin Anggat dengan kelebihan 1,610 undi.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Speaker Dewan Negara Senator Datuk Doris Sophia Brodie, Ahli Dewan Undangan Negeri Balai Ringin Snowdan Lawan dan dua Setiausaha Politik Ketua Menteri iaitu Dr Richard Will Uban dan Wilson Nyabong serta Residen Sri Aman Johnathan Lugoh.
sumber:borneopost
No comments:
Post a Comment