Thursday 18 October 2012

Ada pihak anggap pembangkang ‘bagus’

Mereka tidak bangun negara melainkan berkata-kata kosong, tabur janji: Shafie

KUCHING: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal hairan dengan sikap segelintir kecil masyarakat yang melabelkan pembangkang sebagai ‘bagus’.

Katanya apakah yang telah dilakukan pakatan pembangkang merangkumi DAP, PKR dan PAS bagi membangunkan negara melainkan bijak berkata-kata kosong dan menabur janji.

Golongan itu menurut beliau juga menidakkan pembangunan yang diusahakan kerajaan, malah mereka melabel Barisan Nasional (BN) sebagai rasuah.

“Mereka yang tidak berbuat apa-apa dikatakan bagus dan kerajaan yang buat jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain dikatakan korup,” katanya ketika merasmikan Pusat GIATMARA Stampin di sini, semalam.

Bukti yang paling dekat ialah kawasan Parlimen Stampin sendiri, katanya.

Menurutnya, DAP tidak berbuat apa-apa di kawasan tersebut, sedangkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang membina pelbagai prasarana untuk kegunaan umum.

Beliau memberi contoh meskipun Kelantan telah 21 tahun diperintah PAS, pembangunan di negeri tersebut tidak menggambarkan prestasi pentadbiran yang baik terhadap kerajaan negeri.

Shafie berkata lagi apa yang cuba dilakukan parti-parti pembangkang pada ketika ini ialah terlalu berpolitik.

Katanya Amerika Syarikat kerana terlalu banyak berpolitik berhadapan dengan masalah dalaman yang mengakibatkan peluang pekerjaan rakyatnya terjejas kerana kelembapan ekonomi.

Kestabilan politik dalam sesebuah negara menurutnya merupakan asas kepada kemakmuran ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Malah, ia memberi laluan kepada kerajaan merancang dan melaksana program-program pembangunan di seluruh negara.

Menurutnya, penduduk Sarawak dan Sabah wajar meneruskan sokongan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak selepas mengambil kira pencapaian dan kemajuan negara selama 55 tahun.

“Dalam Belanjawan 2013, peruntukan diberi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk Sabah dan Sarawak adalah besar.

Siapa yang bagi peruntukan itu, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment