Friday 5 October 2012

SWP telah kenal pasti calon PRU13

KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) telah mengenal pasti calon-calon yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, kata Presidennya Larry Sng.

Bagaimanapun beliau yang mempertahankan pendirian parti akan bertanding di enam kerusi Parlimen enggan mendedahkan bakal calon mewakili parti yang baharu ditubuhkan pada Mei lepas.

“Sudah tentu kami sudah mengenal pasti calon-calon dan akan mengumumkannya pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SWP di sini, semalam.

SWP akan bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Hulu Rajang, Kanowit, Julau dan Selangau. Kerusi-kerusi tersebut merupakan kawasan diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Tan Sri James Masing.

Mengenai ura-ura mengatakan beliau bakal bertanding di Parlimen Sri Aman, Larry yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus enggan mengulas.

“Tunggu masa untuk kami umumkan nama calon,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-10 pada 2011, Larry dipecat daripada PRS kerana tidak sehaluan dengan Masing.

Justeru, Larry tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya berkenaan.

Kerusi DUN Pelagus kini diwakili George Lagong yang kini merupakan timbalan presiden SWP, apabila menewaskan calon PRS.

Beberapa pihak mendakwa penubuhan SWP adalah sebagai ‘balas dendam’ terhadap PRS apabila ia kelak meletakkan calon di enam kerusi terbabit.

Bagaimanapun ia disangkal oleh Larry sebelum ini dengan menyatakan bahawa SWP ingin menawarkan khidmat lebih baik kepada rakyat di kawasan-kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment