Tuesday 16 October 2012

Kaum Berawan dan Penan diingatkan supaya sokong calon Barisan Nasional


KENANGAN: Abdullah (depan, tiga kiri) merakam kenangan bersama wanita suku kaum Berawan yang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Mulu.


MULU: Kaum Berawan dan Penan yang tinggal di sepanjang Sungai Melinau dalam Taman Negara Mulu di sini diingatkan supaya memainkan peranan yang penting dengan memberi sokongan yang padu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol berkata budaya politik baharu diperkenalkan BN kini ialah memastikan setiap wakil rakyat BN turun padang untuk mendekati rakyat serta turut menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat yang diwakili mereka.

“Oleh kerana itu pada Pilihan Raya Umum lepas, PBB mencalonkan 10 muka baharu dan muda yang menerima tentangan hebat tetapi akhirnya semua calon baharu ini menang kerana konsep baharu kita iaitu turun padang mendekati rakyat,” jelas Saidol.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah Ketua Kaum (KK) Edmund Abang di Melinau, Tutoh Baram, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan sempena lawatan kedua-dua Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Marudi untuk masyarakat Berawan dan Penan dari kawasan tersebut, berjaya menarik perhatian lebih 500 penduduk yang ingin mendengar sendiri penjelasan daripada pemimpin mereka mengenai beberapa isu berkaitan dengan mereka.

Abdullah yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN Sarawak, menyeru masyarakat di kawasan tersebut supaya jangan mendengar hansutan pihak luar yang hanya pandai memecah-belahkan penduduk setempat.

“Pihak pembangkang atau orang perseorangan yang pandai mencaci kerajaan serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan polisinya harus disingkirkan.

“Ini kerana setiap pembangunan yang sudah ada, dibawa oleh kerajaan BN bukannya daripada pembangkang yang langsung tidak dapat berbuat apa-apa untuk rakyatnya,” tambah beliau.

Pada masa yang sama Abdullah turut mengingatkan penduduk supaya jangan menolak pembangunan yang akan disalurkan oleh kerajaan ke kawasan mereka.

“Pihak asing memang pandai menentang apa jua perancangan program pembangunan. Justeru jangan sekali-kali terpengaruh dengan pihak luar dengan kata-kata manis mereka yang sebenarnya menipu, pembohong dan pembelit kepada rakyat.

“Kalau mereka ini berada di kawasan kita, kita perlu memantau pergerakan mereka. Mereka (pembangkang) hanya muncul sekali dalam lima tahun, justeru kita perlu menilai dan suruh mereka mencerminkan muka mereka sendiri dulu sebelum datang ke sini,” katanya.

Menurut beliau jika penduduk dan penyokong BN sentiasa kuat, maka kerajaan BN juga akan maju dan kemajuan tersebut akan berterusan demi kemakmuran.

“Justeru berilah sokongan padu kepada kerajaan BN dan Datuk Jacob,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abdullah turut menyampaikan peruntukan kepada Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Lakiput Sarawak dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Batu Bungan, Mulu.

Turut hadir Pengarah JASA Sarawak Hassan Busu, Temenggung Datuk Hassan Sui, Temenggung Pahang Deng Anyie dan Pegawai Tadbir Jeffery Jalong.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment