Sunday 19 May 2013

Usah emosional hadapi isu melibatkan parti, BN

KUCHING: Penyokong dan ahli-ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) diingatkan supaya tidak bertindak secara emosional ketika berdepan sebarang isu yang melibatkan parti dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun berkata demikian merujuk kepada barisan kabinet persekutuan yang membangkitkan rasa kecewa di kalangan penyokong dan ahli-ahli parti itu.

Tegas Entulu, dalam apa jua keadaan atau masalah yang berlaku dalam parti, penyokong dan ahli-ahli parti harus kekal bersatu dan bukannya bertindak sebaliknya yang mana akhirnya akan menjejaskan parti.

“Memang kita agak kecewa kerana tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada BN selepas kejayaan kita memberikan mandat yang besar kepada BN untuk menerajui pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun lagi.

“Bagaimanapun, pihak parti menerusi Presiden Tan Sri James Masing dalam proses perbincangan bersama Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula portfolio yang sewajarnya untuk wakil kita PRS dalam kabinet persekutuan.

“Sebab itu, saya meminta semua penyokong dan ahli-ahli parti agar tidak bertindak mengikut emosional dan memahami apa yang cuba dilakukan oleh pucuk pimpinan kita dalam menangani perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Meraikan Kemenangan PRS pada PRU13 di KTS Garden di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut bukan sahaja untuk meraikan kejayaan enam calon yang berjaya memenangi kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PRS, malah pada masa sama menghargai sokongan dan kerjasama semua ahli dan jentera parti yang telah membawa kepada kejayaan PRS.

Terdahulu dalam ucapannya, Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata kejayaan PRS menyapu bersih kesemua enam kerusi yang diperuntukkan pada PRU13 didorong oleh semangat perpaduan yang tinggi di kalangan semua ahli dan jentera parti.

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa tanpa perpaduan ia boleh meruntuhkan keutuhan sesebuah parti seperti yang pernah berlaku dalam parti-parti Dayak sebelum ini.

Namun demikian, katanya, PRS bernasib baik kerana memiliki Masing, seorang pemimpin yang berkaliber serta mampu menerajui parti daripada berpecah meskipun berdepan pelbagai cabaran yang cuba menggugat parti.

Mengulas mengenai kemenangannya di Selangau dengan majoriti 7,555 undi, Entulu yang baharu dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ia membuktikan bahawa masyarakat Dayak di kawasan tersebut tidak berpecah.

Katanya, laporan awal risikan mengatakan Selangau merupakan kawasan hitam yang tidak mungkin dapat beliau pertahankan pada PRU13 apabila menerima tentangan daripada Penasihat Parti Pekerja Sarawak (SWP) Datuk Sng Chee Hua.

Tetapi, menurut Entulu, hasil kerja keras beliau dan jenteranya sepanjang menyandang kerusi itu serta ketika tempoh rasmi berkempen, akhirnya terbukti beliau dan BN masih diperlukan di kawasan itu dan bukannya individu lain.-theborneopost

No comments:

Post a Comment