Wednesday 8 May 2013

PBB terus raih sokongan padu daripada rakyat

KUCHING: Kejayaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berjaya memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13) membuktikan parti itu terus meraih sokongan padu daripada rakyat.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata rakyat Sarawak khasnya Bumiputera masih mempercayai PBB mampu memperjuangkan hak mereka dan meneruskan kesinambungan pembangunan.

Malah katanya, kerja keras dan perpaduan yang ditunjukkan ahli PBB diketuai Presidennya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud juga memberi impak kepada sokongan positif masyarakat.

“Saya amat bersyukur kerana PBB mampu mengulangi kejayaan menang semua kerusi yang ditandingi seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.

“Ini menunjukkan PBB masih relevan dan mendapat sokongan daripada masyarakat Bumiputera di negeri ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan PBB memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU13.

Pada masa sama, Daud turut melahirkan rasa bangga dengan kemampuan kebanyakan calon PBB yang meraih majoriti undi lebih besar berbanding PRU12.

“Kejayaan meningkatkan majoriti undi mungkin didorong calon PBB suka turun padang sekali gus menarik sokongan padu masyarakat Bumiputera,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof menjelaskan, kemenangan PBB di kesemua 14 kerusi Parlimen menunjukkan keyakinan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan parti.

“Ini kerana perjuangan politik kami (PBB) berasaskan pembangunan dan bukannya sentimen tertentu.

“Kami juga meletakkan rakyat di hadapan dengan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan,” jelasnya.

Tambahnya, masyarakat Bumiputera di negeri ini tidak akan memberi sokongan kepada sesebuah parti secara sembarangan sebaliknya mereka menyaksikan perubahan dilakukan.

“Apabila kami menang semua kerusi yang ditandingi, ia menunjukkan kami mempunyai ramai penyokong yang telah menyaksikan kami berjaya melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi aspirasi mereka,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kemenangan 100 peratus PBB dengan majoriti besar adalah ekoran kepimpinan baik parti di peringkat atasan dan akar umbi.

“Komitmen dan kesungguhan pemimpin PBB memberi keyakinan kepada rakyat untuk memberi sokongan padu kepada parti di setiap kerusi yang ditandingi.

“Pehin Sri Taib juga menunjukkan kepimpinan amat baik kepada ahli-ahli PBB dengan menanam semangat cintakan parti, budaya disiplin dan tidak mahu melihat parti kecundang,” ujarnya.

Kebanyakan kerusi Parlimen yang ditandingi calon BN daripada PBB mencatat majoriti undi besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Ia merangkumi Santubong dengan majoriti 20,936 undi manakala PRU12 11,945 undi, Petra Jaya 21,443 undi dan PRU12 (14,397 undi).

Kota Samarahan turut mencatat peningkatan majoriti daripada 11,411 undi pada PRU12 kepada 17,401 undi manakala Mambong dengan 9,721 undi manakala PRU12 dengan 6,657 undi.

Peningkatan majoriti dicatatkan juga di Batang Sadong dengan 11,260 undi manakala 5,425 undi (PRU12) sementara Batang Lupar mencatat 10,964 undi dan 8,092 pada PRU12.

Sedikit penurunan majoriti dicatat di Betong dengan 10,887 undi manakala 11,709 undi (PRU12) manakala Tanjong Manis yang menang tanpa bertanding pada PRU12 mencatat majoriti 10,964 undi.

Igan yang turut mencatat kemenangan tanpa bertanding pada PRU12 mencatat majoriti 10,143 undi dan Mukah merekodkan peningkatan majoriti daripada 6,298 undi kepada 12,764 undi.

Kapit merekodkan majoriti 9,731 selepas menang tanpa bertanding pada PRU12 sementara Sibuti mencatat majoriti 6,066 undi berbanding 3,648 undi (PRU12).

Limbang yang sekadar mencatat majoriti 676 undi pada PRU12 mencatat peningkatan mendadak kepada 8,301 sementara Lawas sedikit menurun daripada majoriti 7,792 undi kepada 6,030 undi.-theborneopost

No comments:

Post a Comment