Wednesday, 8 May 2013

Realpolitik ala-DAP

Khairuddin Mohd Zain

SEBUAH artikel di dalam akhbar berbahasa Cina kelmarin mengemukakan pandangan, sekali gus memberikan pujian melambung kepada DAP yang dianggap sudah mencipta sejarah baharu dalam dinamisme politik Malaysia. DAP digambarkan sebagai parti politik yang paling berjaya dalam pakatan pembangkang.

Pencapaian DAP diberikan gambaran sebagai brilliant dan hebat. Kejayaan 100 peratus DAP di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan juga dilambung sebagai sangat luar biasa. Daripada senarai 50 Yang Berhormat mendapat undi majoriti tertinggi, 48 daripadanya adalah pemimpin dan calon DAP, jelas akhbar tersebut.

Kita boleh menerima kegembiraan media berbahasa Cina dengan kemenangan DAP. Mungkin sahaja agaknya kemenangan DAP adalah satu kemenangan moral yang sangat mereka tunggu-tunggu selama ini.

Media berbahasa Cina sentiasa sahaja memberikan gambaran positif mengenai DAP dan meletakkan pemimpin mereka sebagai peneraju pendapat umum di dalam media mereka selama ini.

Dengan diperkukuhkan sandiwara ‘air mata buaya’ dua tiga hari sebelum PRU bermula, kononnya DAP tidak dapat menggunakan logo ‘roket’ adalah satu kaedah DAP untuk menentukan undi akan memihak kepada mereka. Kesemua ini, disusun teliti untuk menzahirkan laba politik maksimum.

Hari ini, ‘air mata buaya’ pemimpin veteran itu sudah pastinya bertukar menjadi senyuman manis hingga ke telinga. Memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu pencapaian yang luar biasa kepada parti tersebut. Sandiwara air mata, menjadi durian runtuh politik kepada DAP.

Nyata, kejayaan DAP di dalam PRU-13 berdasarkan realpolitik (aliran politik berdasarkan kenyataan- kenyataan, politik praktikal) yang sudah mereka pupuk di Malaysia buat sekian lama. Memberikan ‘wajah’ bahawa mereka adalah mangsa berterusan kepada sebuah sistem yang korup dan kejam, menjadi suara mutlak kononnya kepada ketidakadilan yang berlaku, DAP akhirnya mendapat laba politik yang diharapkan.

Realpolitik membawa makna satu pendekatan politik yang praktikal, berasaskan kuasa dan tidak terlalu dibeban dengan soal ideologi dan moral. Ada juga yang mendefinisikan realpolitik sebagai permainan politik Machiavelli - matlamat menghalalkan cara.

DAP pastinya membaca dinamisme politik secara cukup jelas. Menggunakan sentimen perkauman, memberikan gambaran buruk kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya MCA dan Gerakan pastinya akan membawa kemenangan moral DAP pada suatu ketika. Apa yang berlaku pada PRU-13 adalah kemuncak kepada ‘permainan’ realpolitik ala-DAP.

Apa permainan politik mudah DAP? Jika pengundi bukan Melayu boleh terus dibayangkan sebagai kumpulan yang tertindas, tersiksa, diketepikan, tidak penting dan tidak dihormati - maka ia boleh dijelmakan di peti undi. Itulah ‘psyche’ yang selama ini diasuh DAP di dalam politik Malaysia.

Setelah menyediakan masyarakat Cina di Malaysia dengan naratif yang mereka mahukan, DAP hanya perlu memberikan sedikit suntikan akhir untuk memastikan cita-cita mereka mampu direalisasikan.

Buat ketika ini, DAP bijak kerana tidak menampilkan ‘wajah sebenar’ mereka sebagai kelompok yang kemaruk kuasa. Wajah-wajah lain, dengan imej yang lebih ‘sesuai’ digambarkan sebagai pemimpin kepada gerakan politik mereka.

Ini juga berasaskan realpolitik. DAP tahu, masanya belum tiba untuk mereka menjadi pemain hadapan di peringkat nasional. Mereka tulang belakang pakatan politik, itu betul - tetapi ia tidak perlu dizahirkan sebagai suatu pertentangan politik yang berasaskan kaum. Ia perlu disorok di belakang ‘agenda’ lain yang dirasakan lebih murni dan molek.

DAP punya rakan politik sempurna apabila sebuah lagi parti yang membawa imej Islam dapat dijadikan teman seperjuangan yang diharapkan. Model politik mereka cukup mudah - DAP tidak perlu berada di hadapan sebaliknya hanya menjadi ‘pencatur yang berkesan’. Kerajaan negeri yang ditubuhkan di Perak pasca PRU-12 adalah satu projek politik cubaan yang sangat berkesan.

Daripada satu segi, kejayaan besar DAP adalah berpaksikan kemampuan menyorokkan niat sebenar mereka di sebalik slogan baru yang lebih mampu menarik pengundi muda. Istilah seperti UBAH, INI KALILAH dan kekuatan ‘Red Bean Army’ di media sosial memberi pulangan politik kepada DAP.

MODEL POLITIK BARU BN

DAP mencatatkan pencapaian politik yang konsisten sepanjang empat pilihan raya yang lalu. Jangan terlalu tertumpu kepada keputusan PRU-12, kerana pada hakikatnya DAP sudah menunjukkan tanda peningkatan sokongan sejak pilihan raya tahun 1999. Namun, ia tidak diimbangi dengan kerja politik berkesan dalam kalangan rakan komponen BN.

Secara peribadi, penulis merasakan strategi Presiden MCA untuk melarang parti tersebut mendapat jawatan di peringkat Kabinet bukanlah satu tindakan yang berkesan. Ia akan memberikan gambaran bahawa kerajaan yang ada sama sekali tidak peduli - walaupun tidak jutaan, ratusan ribu undi masih diberikan oleh pengundi Cina kepada BN.

Dalam politik, tidak perlu ada istilah merajuk dan membalas dendam. MCA, Gerakan, SUPP dan keluarga besar BN perlu memberanikan diri membentuk model politik baru dan bersaing dengan realpolitik ala-DAP secara berdepan.

Namun, dalam berdepan dengan realpolitik DAP, tidak boleh mengambil pendekatan yang separuh masak. Komponen BN mesti berani melakukan perubahan yang maksimum dan menyeluruh. Mengambil tanggungjawab sekali gus menolak pemilihan semula sebagai Presiden parti adalah satu langkah permulaan yang baik.

BN memerlukan kalangan pemimpin politik komponen yang boleh berdepan dengan realpolitik DAP ini. Ia tidak cukup sekadar mengemukakan iklan berkala di dalam akhbar bahasa Inggeris yang belum tentu memberikan waima luka kecil kepada politik DAP.

Seorang teman penulis, seorang profesional muda berbangsa Tionghua mencadangkan agar MCA, Gerakan dan SUPP digabungkan sebagai force berkesan dalam berhadapan dengan fiil dan perangai politik DAP. Katanya, ia boleh dilakukan asal sahaja gabungan tersebut mampu menampilkan kalangan ‘wajah’ pemimpin yang bersih, mempunyai integriti, berpendidikan dan ikhlas.

Sebagai kesimpulan, kita terpaksa menerima pendekatan realpolitik ala-DAP ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Mesej politik mereka berkesan. ‘Niat sebenar’ mereka berjaya disorokkan. Lebih malang lagi, pemimpin DAP juga sudah mampu diangkat oleh orang Melayu sebagai ‘hero’ baharu politik mereka.

Penting, untuk komponen BN berdepan dengan DAP secara berhadapan dan bukannya dengan pendekatan orang yang mudah berputus asa (defeatist). DAP juga pernah berdepan dengan pencapaian buruk dalam pilihan raya umum 1974, 1982 dan 1995 - ia tidak sama sekali membuatkan mereka kecewa. Pokok pangkalnya, komitmen mesti tinggi dan kesungguhan mesti ada.

PENULIS ialah pemerhati sosio politik.-utusan

No comments:

Post a Comment