Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
SEPERTI dijangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan lebih ramai wakil dari Malaysia Timur dalam barisan Kabinet baharu yang menyaksikan 11 orang dari Sarawak dan 10 dari Sabah terpilih. Ia merangkumi tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak manakala Sabah mendapat enam menteri dan empat timbalan menteri.
Sebelum ini, Sabah mempunyai empat menteri dan empat timbalan menteri manakala Sarawak dua menteri dan sembilan timbalan menteri.
Peningkatan jumlah wakil dalam Kabinet itu adalah ekoran kedua-dua negeri berkenaan menyumbang kerusi besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sarawak menyumbang 25 kerusi dan Sabah 22 kerusi yang meliputi 35 peratus daripada keseluruhan 133 kerusi yang dimenangi BN.
Bagi para wartawan yang pernah membuat liputan sidang akhbar dan sesi sidang Parlimen yang melibatkan anggota Kabinet dari Malaysia Timur ini, tokoh yang ditampil sekarang adalah jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu.
Sebelum ini, menteri dan timbalan menteri dari Sarawak dan Sabah dianggap kurang memberikan berita yang menarik kerana cenderung membaca kenyataan yang disediakan pegawai sahaja.
Kini anggota Kabinet terbabit tidak boleh lagi dipertikaikan kewibawaan mereka kerana telah menunjukkan prestasi cemerlang dan arif dengan bidang tugas kementerian masing-masing.
Antaranya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah yang dilantik semula sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Luar.
Turut dilantik semula ialah Senator Datuk Seri Idris Jala dari Sarawak sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau yang mengetuai Unit Pengurusan dan Perlaksanaan (Pemandu) adalah tulang belakang kepada pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Beberapa bekas timbalan menteri dari Sarawak turut dinaikkan pangkat seperti Joseph Entulu anak Belaun, 54, yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Kentucky, Amerika Syarikat (AS) yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut dilantik ialah Datuk Richard Riot Jaem yang merupakan satu-satunya calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang menang dalam PRU-13 sebagai Menteri Sumber Manusia.
Seorang lagi yang naik pangkat adalah peguam, Datuk Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.
Turut naik pangkat ialah Datuk Rohani Abdul Karim yang merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Ohio University, AS sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Muka baharu dari Sarawak yang dilantik sebagai menteri ialah Nancy Shukri yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Ohio University, AS dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perkhidmatan Undang-undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan menteri dari Sarawak yang dilantik juga berpengalaman seperti bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 66, yang berkelulusan undang-undang dari Lincoln's Inn, London sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Datuk Alexander Nanta Linggi, 55, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah adalah berkelulusan Kajian Perniagaan dari Schiller International University, London dan merupakan cucu kepada pemimpin ulung Iban, Tun Jugah anak Barieng.
Datuk Dr. James Dawos Mamit yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula adalah berkelulusan Doktor Falsafah Alam Sekitar dari Warnborough College, Oxford, United Kingdom dan cukup lantang memperjuangkan soal penjagaan alam sekitar.
Bagi wakil Sabah, tokoh berpengalaman yang dilantik semula ialah Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah Ekonomi Pertanian dari La Trobe University, Australia yang beralih sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Muka baharu dari Sabah yang dilantik sebagai menteri adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan, 48, yang dilantik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengurusan dari Sonoma California State University, AS merupakan antara Ahli Parlimen yang vokal membahaskan pelbagai isu setiap kali sesi Dewan Rakyat.
Datuk Dr. Ewon Ebin yang dilantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pula merupakan antara pemimpin kaum Kadazandusun yang cukup berpengalaman dalam arena politik.
Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) adalah lulusan undang-undang dari Universiti Malaya.
Timbalan Menteri dari Sabah juga berpengalaman seperti Datuk Azizah Mohd. Dun yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau yang berkelulusan undang-undang dari Lincoln's Inn pernah menjadi peguam dan majistret.
Muka baharu, Datuk Mary Yap Kain Ching, 62, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I adalah Tokoh Guru Kebangsaan pada 2012 dan merupakan panel penasihat kepada Menteri Pelajaran untuk sekolah kluster.
Bagi Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong, beliau yakin dengan kemampuan anggota Kabinet dari Sarawak dan Sabah yang dilihatnya mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang.
Katanya, pelantikan individu yang mempunyai latar belakang sedemikian adalah wajar bagi membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam kerajaan Persekutuan.
"Saya berpendapat kedua-dua negeri diberi ganjaran sewajarnya kali ini atas sokongan mereka selama ini kepada BN.
"Ia benar-benar satu langkah yang positif dan bijak oleh Perdana Menteri, selain mencerminkan pengiktirafan untuk pengundi," katanya.
Kok Seong berkata, pelantikan itu juga mampu mempertingkat integrasi nasional dan memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
Nampaknya, barisan Kabinet kali ini bakal menjadi medan untuk menguji kebolehan menteri dan timbalan menteri dari Malaysia Timur. Tidak mustahil kecemerlangan yang ditunjukkan akan membolehkan mereka menerajui kementerian utama pada masa depan seperti Kewangan, Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Dalam Negeri serta Pertahanan.-utusan
No comments:
Post a Comment