PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata dengan kaedah penggunaan dakwat kekal yang diperkenalkan buat kali pertama oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), tiada sebab untuk proses pilihan raya kali ini dipertikaikan.
Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau melihat kaedah baru itu tidak menimbulkan sebarang kesulitan, sekali gus yakin proses pengundian hari ini akan berjalan dengan lancar.
"Saya lihat PRU kali ini dengan kaedah baru ini berjalan dengan begitu lancar, tidak timbul sebarang kesulitan termasuk penggunaan dakwat kekal. Jadi, tiada sebab mengapa PRU ini nak dipertikaikan oleh sesiapa pun.
"Saya puas hati dengan prosesnya dan saya puas hati dengan kredibiliti PRU kali ini tambahan kita ada pemerhati dari dalam dan luar negara dengan perjalanan (pengundian) yang begitu telus," katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Najib juga yakin BN akan mendapat mandat yang besar kali ini dan seluruh rakyat Malaysia akan menerima keputusan yang dibuat hari ini.
"Saya percaya rakyat akan buat keputusan bijak, yang penting adalah tahap keyakinan masa depan negara kita dan kalau mereka (rakyat) buat penilaian, saya yakin berdasarkan pada kemampuan kita selama empat tahun ini, dasar transformasi nasional benar-benar dapat dilaksanakan dengan jayanya," kata beliau.
Beliau berkata, sekiranya BN diberikan mandat lima tahun lagi untuk memerintah, beliau yakin keadaan ekonomi dan sosial negara akan bertambah baik dalam menuju Wawasan 2020 yang akan tiba tujuh tahun lagi.
"Jika kita dapat mandat untuk lima tahun akan datang, Insya-Allah keadaan negara akan bertambah lebih baik dan menjurus kepada usaha mencapai wawasan negara," kata Najib. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment