Friday, 3 May 2013

Jangan mengundi pembangkang, kata Jabu



TANDA HORMAT: (Dari empat kiri) Ripin, Rosey, Tuai Rumah Anyai, Ahmad Lai, Jabu dan yang lain ketika sesi berdoa sebelum Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Gereja St John Saeh, Niah petang semalam.


Jabu larang pengundi sokong pembangkang yang tidak hormat budaya, adat resam etnik negeri ini

SAEH, NIAH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang melarang pengundi menyokong pembangkang yang tidak menghormati budaya dan adat resam etnik di negeri ini.

Beliau berkata pembangkang yang datang ke Sarawak hanya menginginkan kuasa tanpa mengira sensitiviti penduduk tempatan khasnya penghuni rumah panjang.

“Rakyat khususnya penghuni rumah panjang jangan sesekali menyokong parti luar yang tidak menghormati budaya dan adat resam kita bahkan menghina kaum Iban.

“Rakyat Sarawak mempunyai pelbagai etnik dan budaya, oleh itu jangan kita terima parti (pembangkang) yang tidak menerima dan menghormati adat masyarakat kita di sini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Rumah Anyai Ijau selepas Majlis Pecah Tanah Gereja St John, Saeh Putih, Niah di sini petang semalam.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) dan Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak (Elektrik & Komunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat dan Tuai Rumah Anyai Ijau.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, menaruh harapan tinggi terhadap penduduk di sekitar Saeh, Niah agar terus memberi mandat kepada BN bagi kesinambungan pembangunan yang akan terus dinikmati oleh rakyat.

“Sekiranya kita tidak menyokong kerajaan BN, ia diibaratkan sebuah sampan kecil yang tidak boleh belayar di tasik besar.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar rakyat Sarawak khasnya di Parlimen Sibuti ini terus memberi sokongan kepada kerajaan BN agar pembangunan dapat terus dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Jabu merasmikan majlis pecah tanah gereja Katolik yang akan dilaksanakan di kawasan Saeh Putih, Niah.

Pelaksanaan gereja baharu Katolik yang bernilai RM500,000 itu akan memberi manfaat kepada 13 rumah panjang di sekitar kawasan Saeh tersebut.

Menurut Jabu, pembinaan gereja tersebut membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap pelbagai agama yang diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Ini menunjukkan betapa kerajaan BN amat prihatin dan tidak berbelah bahagi kepada rakyat agar dapat menjalankan ibadah mengikut kepercayaan masing-masing,” tambahnya.-theborneopost

No comments:

Post a Comment