Friday 17 May 2013

PRS akan kemuka nama baharu untuk ganti Salang: Masing

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mengemukakan nama baharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbang menggantikan Datuk Joseph Salang Gandum yang menolak jawatan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Presidennya Tan Sri James Masing bagaimanapun enggan mendedahkan nama yang bakal mewakili parti itu dengan alasan buat masa ini, ia bukan untuk pengetahuan umum.

“Ya ada, (nama yang akan dikemukakan kepada Najib) tetapi saya tidak akan beritahu sekarang, bukan untuk dike-tahui umum buat masa ini. Tunggu sehingga Perdana Menteri membuat keputusan dan mengumumkannya nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Empat nama yang mungkin akan dikemukakan Masing kepada Najib ialah Masir Kujat (Ahli Parlimen Sri Aman), William Nyalau Badak (Ahli Parlimen Lubok Antu), Datuk Aaron Ago Dagang dan Wilson Ugak Kumbong (Ahli Parlimen Hulu Rajang).

Salang sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini dikenali Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak hadir pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Shah Mu’adzam di Istana Negara semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului senarai menteri dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah pada majlis bermula jam 10.10 pagi itu.

Terdahulu. dalam laporan akhbar The Borneo Post semalam, Salang menjelaskan beliau menolak jawatan baharu yang ditawarkan kepada-nya kerana mahu memberi peluang kepada ‘orang muda’ dari PRS dilantik membarisi kabinet persekutuan.

“Saya sudah menjadi timbalan menteri selama sembilan tahun dan berasa sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada orang muda dari PRS menggantikan saya (dalam kabinet persekutuan).

“Saya akan memfokus kepada tugas saya sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.

Bagaimanapun, Salang berkata, beliau akan mempertimbangkan semula keputusannya jika Najib merombak barisan kabinetnya dan melantik beliau sebagai menteri penuh.

“Saya akan pertimbangkan (jika jawatan menteri penuh ditawarkan),” ujar Ahli Parlimen Julau serta Naib Presiden PRS itu.-theborneopost

No comments:

Post a Comment