Wednesday 1 May 2013

‘Undi BN, rekod terbaik tadbir negara’


Oleh Doris Apai
May 1, 2013


Selain rekod terbaik, kerajaan BN juga telah lama berjasa dan berpengalaman dalam membangunkan negara ini, kata Taib Mahmud.

KAPIT: “Undilah calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13, 5 Mei ini, demi kesinambungan pemban


gunan, terutama sekali bagi kawasan pedalaman,” nasihat Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Katanya, tiada sebab untuk rakyat tidak menyokong calon BN kerana selain mempunyai rekod terbaik dalam mentadbir dan membangunkan negara ini, kerajaan BN juga telah lama berjasa, serta berpengalaman dalam membangunkan negara ini.

“Tidak ada pemimpin lain luar daripada BN yang boleh memikirkan bagaimana mahu membangunkan negeri ini, jauh sekali kalau memikirkan bagaimana membangunkan Kapit, macam mana hendak membuat jambatan panjang kira-kira RM77 juta, di tengah-tengah hutan.

“Oleh sebab itu, apabila kamu mengundi BN, kamu bukan hanya menyokong calon BN, tetapi kamu menyokong usaha, menyokong kerjasama daripada orang yang boleh membangunkan Malaysia dan orang yang akan menyenangkan negeri Sarawak ini daripada negeri yang dahulunya miskin kepada negeri yang kaya dan penduduknya berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Merentasi Batang Baleh, di Kapit yang juga sebahagian daripada projek jalan akses ke Empangan Baleh, di Nanga Mujung, Sungai Baleh.

Ketua Menteri berkata, untuk terus menikmati kepesatan arus pembangunan, semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin di peringkat akar umbi dan rakyat pada keseluruhannya juga harus terus bekerjasama antara satu sama lain.

Lebih dari itu, rakyat juga harus terus menyokong dasar kerajaan untuk membangunkan negeri ini terutamanya pembinaan empangan seperti Empangan Hidro Elektrik Bakun dan Baram serta Baleh dan Pelagus yang sedang dirancang pembinaannya.

Projek berimpak tinggi

Jelasnya, ia disebabkan hanya dengan adanya projek berimpak tinggi seperti empangan itu sahaja dilihat mampu memperkasakan ekonomi rakyat di negeri ini iaitu hasil daripada pembinaan jalan ke empangan tersebut serta kemampuannya menarik pelabur asing dengan negeri kita membekalkan tenaga elektrik yang murah.

“Kita mampu menjadi negeri membangun dengan penduduknya berpendapatan tinggi tiga tahun lebih awal dari sepatutnya dengan syarat kita terus saling menyokong antara satu sama lain dan kekal menyokong usaha kerajaan BN dalam membangunkan negeri ini.

“Sekiranya semua usaha ini berjalan lancar, saya yakin Sarawak boleh menjadi antara negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030,” katanya.

Taib juga memberitahu, pembinaan jambatan merentasi Batang Baleh sepanjang 490 meter itu dilihat sebagai langkah pertama untuk membangunkan kawasan ulu-ulu sungai di Baleh dan Kapit pada keseluruhannya.

Jelasnya, ia diperhebatkan lagi dengan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu untuk membangunkan Kapit dan kawasan Skim Penempatan Semula Tunoh di Ulu Baleh.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan penduduk di kawasan Parlimen Hulu Rajang agar memberikan sokongan padu kepada calon BN, Wilson Ugak Kumbong bagi memastikan kesinambungan usaha membangunkan Bahagian Kapit dapat terus berjalan lancar.

“Telah menjadi tradisi dalam BN, orang yang telah lama diganti dengan orang yang lebih muda, tetapi orang lama dan berpengalaman harus menyokong orang baru, sebagai satu pasukan bagi membolehkan pasukan kita semakin kuat untuk merancang dan melaksanakan pembangunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ketua-ketua masyarakat pemimpin dan calon BN, agar menggalakkan anak-anak masyarakat di luar bandar agar melipatgandakan usaha belajar Sains dan Matematik kerana ia penting dalam usaha terus membangunkan negeri ini pada masa akan datang.

Jambatan, merentasi Batang Baleh sepanjang 490 meter dengan kos kira-kira RM77 juta dijangka siap menjelang Julai 2015 adalah sebahagian daripada projek pembinaan jalan sepanjang 73 kilometer ke tapak Empangan Hidro Elektrik Baleh yang sedang dirancang pembinaannya.

Sempena majlis tersebut beliau turut menyampaikan peruntukan Pojek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM1.4 juta kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi semua Rumah Panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N56 Baleh.-FMT

No comments:

Post a Comment