Sunday 5 May 2013

Analisis PRU-13: BN Sarawak 'sik kelaka banyak' tetapi...

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

BAGI mana-mana wartawan akhbar nasional yang mempunyai latar belakang pemberitaan politik, bertugas di Sarawak menjadi sesuatu yang amat membosankan.

Para pemimpin Kerajaan Negeri Sarawak lebih bercakap soal pembangunan dan masa hadapan negeri ini yang mensasarkan untuk muncul sebagai sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi pada 2030.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam setiap ucapannya jarang sekali tidak menyentuh soal Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

SCORE ibarat satu 'zikir' bagi Abdul Taib dan wartawan yang kerap membuat liputan ucapannya, mereka sudah boleh menghafal visi beliau mengenai SCORE.

Di Parlimen pula, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sarawak amat kurang dikenali wartawan. Malah jika berselisih bahu di lobi Parlimen pun ada yang tidak menyedari bahawa mereka adalah wakil rakyat.

Mereka tidak minat untuk bertikam lidah dalam isu-isu melalut yang dibangkitkan pembangkang. Apabila mereka bangun mengambil bahagian dalam perbahasan, apa yang terbit dari mulut hanyalah isu pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagi wartawan akhbar nasional, ucapan sedemikian tidak mempunyai nilai berita kerana ia terlalu bersifat kedaerahan.

Kurangnya kenyataan menyerang pembangkang dalam kalangan pemimpin BN Sarawak menyebabkan nama mereka jarang menghiasi dada akhbar nasional.

Yang paling sinonim dengan Sarawak hanyalah Abdul Taib, itu pun kerana banyak tohmahan yang dilemparkan kepadanya melalui Internet. Namakan apa sahaja yang buruk-buruk, semuanya dikaitkan dengan beliau.

Namun tidak ramai yang sedar bahawa komitmen BN Sarawak tiada galang gantinya dalam membangunkan negeri ini dan telah banyak pencapaian yang dilakar mereka.

Terbaharu, Sarawak muncul sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi dalam tempoh dua bulan pertama 2013.

Dalam tempoh sesingkat itu, sebanyak RM3 bilion nilai pelaburan berjaya dicatatkan dengan pecahan RM2.89 bilion pelaburan langsung asing (FDI) manakala bakinya sebanyak RM144.5 juta adalah pelaburan domestik.

Angka yang terkandung dalam laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia ( MIDA ) itu menunjukkan dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang sentiasa gegak gempita memuji kecekapan sendiri, masing-masing hanya meraih RM366 juta dan RM351 juta.

Angka itu selayaknya diketawakan kerana negeri yang sudah lengkap dibangunkan BN sebelum ini telah ditewaskan oleh Sarawak - sebuah negeri yang dimomokkan sebagai mundur.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang apabila datang ke negeri ini tanpa segan silu mengangkat diri sendiri.

Lim Guan Eng dalam minggu pertama kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU_13) mendabik dada kononnya akan menghapuskan kemiskinan di Sarawak dalam tempoh lima tahun sahaja sekiranya pembangkang menakluki Putrajaya.

Hakikatnya, Guan Eng yang 'mewarisi' Pulau Pinang yang telah dimajukan oleh BN pun gagal menarik pelaburan. Nampak macam cerdik tetapi tidak mempunyai polisi yang jelas dalam menarik pelabur asing.

Pada 2010, dia 'berkokok' bangga apabila Pulau Pinang menerima FDI lebih RM12 bilion namun memberi pelbagai alasan apabila angka itu merosot kepada RM9 bilion pada 2011 dan terus merudum kepada lebih RM2 bilion sahaja pada tahun lepas.

Pada dua bulan pertama tahun ini pula, FDI Pulau Pinang hanyalah RM59 juta. Jauh ditinggalkan oleh Sarawak yang nyata lebih menarik perhatian pelabur asing hasil tadbir urus baik kerajaan BN.

Aliran masuk FDI Sarawak menunjukkan peningkatan yang konsisten, pada 1980, angkanya hanyalah RM0.7 bilion sebelum meningkat kepada RM1.7 bilion pada 1990.

Pada 2009 pula, FDI Sarawak berjumlah RM8.4 bilion manakala untuk tempoh 2010-2020 dijangka berlaku jangkauan besar kepada RM147.5 bilion hanya untuk SCORE sahaja.

Itu angka yang realistik kerana setakat ini SCORE telah menerima pelaburan berjumlah RM24 bilion bagi 11 projek sahaja.

Pelaburan terbesar ialah daripada syarikat Jepun, Tokuyama Malaysia Sdn, Bhd. yang bertapak di Taman Perindustrian Samalaju dengan pelaburan RM6.6 bilion.

Firma penyelidikan Kenanga Research dalam laporannya pada Februari lalu menyifatkan Sarawak semakin menjadi tumpuan bagi pembangunan ekonomi utama yang meningkatkan peranannya sebagai satu daripada penyumbang utama kepada pertumbuhan negara.

Firma itu berkata, SCORE muncul sebagai satu daripada projek paling penting di rantau ini dan ia dijangka mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Dengan SCORE memacu ekonomi Sarawak, negeri itu menyasar mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga 10 peratus menjelang 2015 berbanding di bawah lima peratus tanpanya.

"Pada kadar kemajuan yang dicatatkan ekonomi Sarawak sekarang, negeri itu boleh menjadi antara tiga penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang," kata laporan tersebut.

Itu hanya sebahagian daripada kejayaan BN Sarawak yang perlu diberi perhatian walaupun nama pemimpinnya, kecuali Abdul Taib, amat janggal di telinga rakyat negeri lain.

Malah nama Baru Bian (PKR), Wong Ho Leng dan Chong Chieng Jen (DAP) jauh dikenali ramai di Semenanjung berbanding Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Tan Sri Dr. James Jemut Masing, Tan Sri William Mawan Ikom mahupun Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Namun, nama-nama yang lebih dikenali itu (Baru Bian, Ho Leng dan Chieng Jen) langsung tiada jasa di Sarawak malah belum terbukti kemampuannya walau sekecil zarah untuk menguruskan hal ehwal negeri itu.

Mereka hanya terkenal kerana suka 'ngereco' (meracau) , tidak seperti pemimpin BN Sarawak yang lebih fokus dalam usaha menjamin masa hadapan rakyat.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment