Wednesday, 8 May 2013

Rakyat Sarawak mahu bersama Barisan Nasional

 
Abdul Taib Mahmud (dua dari kiri) bersama isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib (kiri) Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 diumumkan di Kuching, kelmarin.


KUCHING 6 Mei - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri ini memberi mesej jelas bahawa rakyat masih yakin dengan kewibawaan pimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, kejayaan tersebut juga membuktikan rakyat, khususnya penduduk luar bandar secara konsisten menerima dengan baik setiap dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam meningkatkan pembangunan di Sarawak.

"Alhamdulillah, kita menang 25 daripada 31 kerusi malah kebanyakan kawasan tersebut memperoleh majoriti yang lebih baik, hasil peratusan keluar mengundi yang turut meningkat.

"Selain sokongan hebat daripada rakyat di luar bandar, saya juga nampak sokongan rakyat di kawasan bandar bertambah baik walaupun kita tidak menang dan ini adalah hasil kejayaan BN menyelesaikan banyak masalah dan isu yang timbul di bandar-bandar.

"Contohnya di Miri, kita kalah tipis dan keadaan itu jauh lebih baik berbanding ketika Pilihan Raya Negeri 2011. Begitu juga di Sibu dan Sarikei, sokongan pengundinya jauh lebih baik berbanding yang saya sangka," katanya dalam sidang akhbar di kediaman beliau di Demak Laut di sini semalam.

Abdul Taib dalam pada itu mengakui, kemenangan BN di Sarawak turut disumbangkan oleh gaya kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat berjaya mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat kepada BN.

"Perdana Menteri meyakinkan rakyat bahawa beliau berusaha memenuhi harapan rakyat Sarawak. Beliau mengunjungi tempat-tempat yang tidak pernah dikunjungi pemimpin tertinggi negara terdahulu dan bersikap empati untuk memahami kehendak mereka.

"Sokongan ini sudah cukup baik, jadi saya minta BN menyebarluaskan dasar-dasar yang telah kita laksanakan terutama di bandar-bandar supaya rakyat menyedari, kita peka dan memberi perhatian tanpa mengira di mana mereka berada," katanya.

Mengenai undi kaum Cina yang dikatakan lebih memihak kepada pembangkang terutama DAP, Abdul Taib berkata, BN sebenarnya masih memiliki penyokong setia dalam kalangan masyarakat tersebut.

Buktinya kata beliau, BN menerima undian agak tinggi di kebanyakan kerusi Parlimen yang dimenangi DAP.

"Malangnya sokongan itu tidak cukup kerana lebih memihak kepada gaya politik pembangkang, jadi kita terima dan biarlah mereka putuskan apa yang mereka mahu. Namun saya harap mereka tidak kecewa apa yang diharapkan daripada pembangkang tidak kesampaian suatu hari nanti," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment