Friday 17 May 2013

Shafie komited teruskan kecemerlangan

KUALA LUMPUR 16 Mei - Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dilantik semula menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mahu meneruskan program-program pembangunan yang telah dirancang demi memastikan kesejahteraan penduduk terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang terkenal dengan gelaran 'Menteri Kampung' itu akan melipatgandakan usaha untuk menaik taraf hidup rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka supaya tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengekalkan saya di kementerian ini sekali gus memberi kemudahan untuk meneruskan program infrastruktur di kawasan luar bandar.

"Bagaimanapun sebelum ini kita sudah dapat lihat bagaimana taraf hidup penduduk luar bandar sudah meningkat melalui segala bantuan yang telah disalurkan seperti suntikan modal untuk menjalankan perniagaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta projek perumahan rakyat akan terus dilaksanakan demi menjamin kelangsungan hidup masyarakat luar bandar.

Selain itu katanya, penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) juga telah berjaya membantu masyarakat kampung melonjakkan pendapatan mereka sekali gus membantu para belia mendapatkan pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke bandar.

Menurut beliau, prestasi terdahulu bagi pelaksanaan program tersebut berjaya mencapai tahap membanggakan melalui inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Infrastruktur Asas Luar Bandar.

Sehingga 31 Disember lalu katanya, sepanjang 3,349.59 kilometer Jalan Asas Luar Bandar (JALB) seluruh negara dibina oleh kementerian itu iaitu melepasi sasaran yang ditetapkan dengan pembinaan sepanjang 3,006.95 kilometer JALB bagi tahun 2010 hingga akhir 2012.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya melalui NKRA itu turut memfokuskan kepada Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Program Bantuan Rumah (PBR).

"Bagi BALB, sasarannya adalah sebanyak 329,460 buah rumah dan yang dicapai sehingga tarikh itu sebanyak 254,860 buah rumah, kekurangan ini berpunca daripada beberapa masalah teknikal terutama loji air.

"BELB, sasarannya 91,636 buah rumah dan pencapaian adalah 93,743 buah rumah; PBR, sasarannya adalah sebanyak 40,337 buah rumah bina baharu atau baik pulih dan yang dicapai sebanyak 50,041 buah rumah bina baharu atau baik pulih," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dalam satu kenyataan mengucapkan syukur dan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd. Shafie kerana terus diberi kepercayaan menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Bagi pihak RISDA, kami sangat berbangga dan cukup gembira dengan pelantikan tersebut,'' katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment