Monday, 21 October 2013

Sarawak adalah `tapak subur' BN berdasarkan rekod cemerlang pilihan raya - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Ketua Menteri Sarawak juga Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sambut delegasi setibanya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk merasmikan Perhimpunan Agung Ke-13 PBB, hari ini. - Foto Azahan Rosli


Kuching: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi menyifatkan Sarawak sebagai 'tapak subur' bagi Barisan Nasional (BN) berdasarkan rekod pencapaian cemerlang dalam pilihan raya sebelum ini. 

Katanya, kelebihan itu amat dicemburui pakatan pembangkang, selain keutuhan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai parti tulang belakang BN Sarawak dan rakan komponen lain di negeri ini. 

"Memang kita kehilangan beberapa kerusi (dalam pilihan raya lalu), namun Sarawak masih kekal sebagai 'tapak subur' untuk BN. Hakikat ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun. 


"Ini jelas memperlihatkan keupayaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menerajui Sarawak. Inilah kehebatan 'orang lama'... beliau masih boleh 'memanaskan' keadaan. Jangan ingat 'orang lama' tidak boleh 'memanaskan' keadaan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini. 

Hadir sama Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri Sarawak. 

Beliau secara peribadi turut merakamkan penghargaan terhadap Sarawak, khususnya Taib kerana menjadi 'rakan akrab' yang sangat konsisten dalam waktu susah dan senang. 
"Kita memang boleh berharap pada Sarawak. Dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13), Sarawak menyumbang 25 kerusi yang memastikan kita (BN) kekal berkuasa untuk membentuk kerajaan. 

"Justeru, ketika Kabinet baru dibemtuk, kita ambil tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kerana saya amat mengenang budi negeri ini," katanya. 

Katanya, perlantikan menteri dan timbalan menteri yang ramai dari Bumi Kenyalang juga jelas menbuktikan komitmen Kerajaan Pusat untuk memastikan pembangunan berterusan negeri ini, terutama dalam mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi. 

"Sarawak menyertai Malaysia, 50 tahun lalu atas dasar perfahaman dan penyatuan yang amat utuh. Kita saling mempercayai dan menghormati sesama sendiri... inilah rahsia hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang sekian lama terjalin," katanya. -  BH

No comments:

Post a Comment