Monday, 21 October 2013

272 pemilik tanah terima pampasan RM79.53 juta

KUCHING 20 Okt. - Sebanyak 272 pemilik tanah menerima pampasan berjumlah RM79.53 juta selepas tanah mereka diambil oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan Darul Hana di sini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, pampasan itu melibatkan pengambilan 166 lot tanah seluas 94.42 hektar di 12 buah kampung sekitar kawasan Seberang Hilir.

Katanya, sebanyak 14,655 penduduk daripada 3,645 buah keluarga terlibat dengan projek pembangunan semula dan penempatan kampung itu.

"Kerajaan terpaksa mengambil tanah rakyat bagi tujuan pembangunan kerana tidak semua tanah adalah milik kerajaan.

"Tetapi harus diingat, kerajaan tidak pernah mengambilnya secara percuma, sebaliknya membayar pampasan berdasarkan nilai tanah semasa," katanya semasa berucap dalam majlis Penyampaian Cek Pampasan Projek Pembangunan Darul Hana di sini semalam.

Mengulas lanjut, Awang Tengah memberitahu, projek tersebut dijangka memberi kesan jangka panjang terutama dari aspek sosial dan pembangunan infrastruktur asas, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.

Beliau berkata, antara kemudahan yang akan dilaksanakan termasuk sistem jalan raya, perparitan, pembetungan, pembuangan sampah, selain prasarana sosial yang sistematik dan teratur.

Katanya, projek itu turut menyediakan kawasan rekreasi, kompleks sukan, surau, sekolah dan pusat komersial untuk masyarakat setempat.

"Bagaimanapun, projek yang dibangunkan secara mapan projek ini akan mengekalkan ciri-ciri warisan seni bina Melayu, budaya, persekitaran dan nilai tradisional penduduk di situ.

"Pembayaran pampasan yang dilakukan hari ini adalah bukti dasar kerajaan iaitu sentiasa memastikan rakyat memperoleh manfaat hasil daripada pembangunan yang dilaksanakan di negara ini," katanya. - Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment