Kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini yang didokong dan dipimpin oleh PBB mesti dijaga.
KUCHING: Perpaduan kukuh yang terjalin sejak penggabungan tiga parti asas yang membentuk Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sehingga ke hari ini harus dipertahankan meskipun berhadapan dengan pelbagai ranjau dan cabaran.
Ketua Menteri merangkap Yang DiPertua Parti PBB, Abdul Taib Mahmud menegaskan, kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini yang didokong dan dipimpin oleh PBB mesti dijaga.
“Saya ingin memberi peringatan dan nasihat kepada semua, pantang sekali sekiranya ada kalangan ahli yang berpuak-puak atau berpihak kepada satu-satu kumpulan kerana tindakan seperti itu boleh meruntuhkan keharmonian dan perpaduan dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Ulang Tahun Ke-50 Parti PBB Sarawak dan Seminar Perihal Politik dan Pendidikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Menurutnya, kejayaan istimewa yang dinikmati dalam PBB selama ini adalah dipacu perpaduan kukuh dalam parti itu.
Kata Taib, sekiranya ada kalangan ahli parti yang berpuak-puak, akibatnya parti yang sudah berusia 50 tahun itu akan berpecah-belah.
“PBB dipercayai oleh rakyat selagi kita (parti) kekal bersatu padu dan ini membolehkan kita melaksanakan banyak projek pembangunan seperti yang diinginkan oleh rakyat.
“Kita bukan sombong tetapi PBB telah membina perpaduan kukuh sehingga menjadi sebuah parti yang paling stabil dan teguh pada hari ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, Taib menyifatkan perpaduan kukuh dalam parti PBB adalah satu tuah sekali gus menjadi landasan perjuangan parti untuk rakyat.
“Ahli PBB tidak takut menghadapi perkara baharu, meninggalkan keluarga, berhijrah ke tempat baharu atau menukar adat resam yang lapuk kerana sikap ini telah dididik dalam parti sehingga ahli yang terdiri daripada berbilang kaum dapat bersama,” tegas Taib.
Tambahnya, PBB juga mempunyai perjuangan dan hala tuju yang jelas, maka ia menyebabkan parti itu masih terus relevan dalam arena politik meskipun 13 pilih raya sudah berlalu.
“Rakyat tahu perjuangan kita dan mereka juga tahu kita dapat melaksanakan pembangunan di negeri ini kerana, PBB dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang paling relevan untuk memenuhi kehendak rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan dan pembangunan sekarang hasil perjuangan pemimpin terdahulu. Sehubungan itu, beliau mengajak ahli PBB bertafakur sebentar sebagai menghormati perjuangan pemimpin terdahulu. - FMT
No comments:
Post a Comment