KUCHING 20 Okt. - Masalah pendidikan, terutama berkaitan kekurangan guru di negeri ini merupakan antara isu utama yang disuarakan para perwakilan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof berkata, kekurangan guru di negeri ini memang wujud sejak sekian lama namun semakin ketara apabila ada guru yang memohon untuk bertukar ke Semenanjung.
Situasi itu kata beliau, menyebabkan berlaku kekosongan jawatan tersebut terutama di kawasan luar bandar.
"Kekurangan guru pula mengakibatkan pencapaian akademik para pelajar kurang memberangsangkan, lebih-lebih lagi ada guru yang ditugaskan mengajar subjek di luar bidang masing-masing.
"Menurut perwakilan, keadaan itu mungkin dapat dielakkan jika kerajaan menghantar lebih ramai guru yang berasal dari Sarawak untuk bertugas di negeri ini berbanding mengambil guru dari Semenanjung," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Agung Ke-13 Pergerakan Pemuda PBB yang di sini semalam.
Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, isu lain yang turut dibangkitkan ialah gesaan supaya kerajaan mempercepatkan projek pembinaan lebuh raya di jajaran Pan Borneo.
Kata beliau, projek tersebut dijangka menelan belanja sehingga RM22 bilion dan dijadual dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2025.
"Para perwakilan juga membincangkan perkara berkaitan ekonomi terutama usaha memajukan usahawan luar bandar.
"Pemuda PBB juga diminta membuat persediaan rapi menghadapi pilihan raya negeri akan datang termasuk lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya. - Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment