Monday 21 October 2013

PBB perlu kekal kestabilan


SOKONGAN PADU: Taib tiba di BCCK bagi Pelancaran Ulang Tahun Ke-50 PBB Sarawak dan Perasmian Seminar Perihal Politik dan Pendidikan sempena Konvensyen PBB Ke-13 di Kuching semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Ia untuk memastikan parti terus relevan pada masa akan datang: Taib

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus mengekalkan kestabilan dalam parti untuk terus relevan pada masa akan datang.

Presidennya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata selepas melalui 13 pilihan raya, PBB masih kekal sebagai parti yang paling relevan dan diperlukan oleh rakyat Sarawak.

Semua ini adalah kerana PBB sentiasa mengotakan apa yang dijanjikan dan contoh terbaik ialah SCORE yang dijangka menerima pelaburan bernilai RM200 bilion menjelang 2030.

“PBB dan Barisan Nasional (BN) telah berjaya memberi keyakinan kepada pelabur dari segi perpaduan dan kestabilan untuk mereka melabur dalam SCORE.

“Malah terdapat sebuah kilang bernilai RM600 juta dibuka di Taman Perindustrian Samalaju yang didorong oleh perpaduan dan kestabilan yang dipertahankan oleh PBB.

“Sebab itu kita perlu meneruskan perpaduan dan kestabilan dalam PBB kerana kita hanya akan dipercayai dan mendapat sokongan daripada rakyat jika perpaduan yang kukuh ini dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ulang Tahun Ke-50 PBB Sarawak dan Perasmian Seminar Perihal Politik dan Pendidikan sempena Konvensyen PBB Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Taib yang juga Pengerusi BN Negeri dan Ketua Menteri berkata PBB telah dapat menjalankan peranannya dalam pembangunan negeri sepanjang tempoh 50 tahun ini.

“PBB adalah perjuangan rakyat, oleh sebab itu apa jua yang diperjuangkan oleh PBB didorong oleh kesedaran bahawa rakyat mahukan kemajuan dan pembangunan.

“Selepas 50 tahun kita berjaya menukarkan corak kehidupan di luar bandar dan lebih penting ramai anak-anak kita dari luar bandar telah memiliki kenderaan masing-masing untuk bergerak.

“Ini menggambarkan perjuangan kita telah sampai kepada rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum meskipun belum mencapai 100 peratus.

“Tapi kita berani memberitahu bahawa 97 peratus telah dicapai dengan tiga suku daripada rakyat Sarawak telah menikmati kemudahan jalan, air, elektrik dan paling penting pendidikan,” ujarnya.

Tambah Taib, kejayaan yang dikecapi pada hari ini bukan kejayaan ekonomi semata-mata tetapi kejayaan PBB dan BN yang jujur yang mahu menukar corak kehidupan rakyat.

“Inilah semangat PBB yang patut kita kekalkan, semangat perjuangan yang tidak takut dengan perkara baharu, tidak takut mengubah adat resam yang lapuk dan mengambil cara hidup yang baharu.

“Kita telah berjaya mendidik rakyat untuk menukar kekayaan tanah kepada sesuatu yang menguntungkan menerusi ‘konsep estet Bumiputera’.

“Meskipun ia mendapat tentangan pada awalnya tetapi oleh kerana PBB tidak takut maka kita telah berjaya membangunkan lebih daripada satu juta hektar tanah hari ini di bawah konsep ini,” kata Taib.

Pembangkang masih berkeras menentang konsep atau skim yang diperkenalkan oleh kerajaan ini menerusi PBB dan BN, tetapi pemimpin PBB tidak takut dan kita berharap semangat ini akan diteruskan, katanya.

“Jika anda tidak membangunkan tanah anda sekarang, maka kawasan luar bandar akan kosong dan menjadi miskin 10 tahun akan datang.

“Saya berterima kasih kepada pemimpin PBB terutama Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan rakan komponen parti Tan Sri James Masing kerana telah bertungkus-lumus untuk menjayakan konsep pembangunan tanah ini,” kata Taib di hadapan kira-kira 5,000 delegasi dan pemerhati, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Michael Manyin, Ketua Penerangan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Empiang Jabu. - theborneopost

No comments:

Post a Comment