Tuesday 19 November 2013

Sarawak utamakan pembangunan


BAHARU TIBA: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghadiri Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga DUN Ke-17.
Belanjawan 2014 peruntuk RM4,276j bagi pembangunan, RM1,683j belanja operasi

KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada dua pertiga daripada keseluruhan peruntukan bernilai RM5,959 juta (RM5.9 bilion) yang dicadangkan bagi Belanjawan 2014 bagi tujuan pembangunan.

Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata cadangan belanjawan bagi tahun 2014 akan terus menjurus kepada pembangunan dengan RM4,276 juta atau 72 peratus diperuntukkan bagi tujuan tersebut manakala RM1,683 juta atau 28 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi.

Dengan anggaran jumlah pendapatan sebanyak RM4,941 juta berbanding perbelanjaan lazim sebanyak RM4,683 juta, Taib yang juga Ketua Menteri menjangkakan Belanjawan 2014 akan mempunyai lebihan sebanyak RM258 juta.

“Belanjawan 2014 diformulakan selepas mengambil kira lima teras dan peruntukan Belanjawan Negara 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober lepas.

“Dalam usaha kita mencapai pembangunan yang lebih pesat dan seimbang dan untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan, Belanjawan 2014 akan berpandukan tujuh objektif dan strategi yang digariskan.

“Antaranya, meneruskan belanjawan yang menjurus kepada pembangunan, menge-kalkan polisi lebihan belanjawan, menyediakan agihan sumber-sumber pembangunan yang seimbang, memberi keutamaan kepada aktiviti ekonomi, memastikan kecekapan dan kelancaran pengoperasian, meneruskan strategi pengurusan perbelanjaan operasi yang cekap serta terus membantu sektor swasta sebagai mesin utama pembangunan,” katanya.

Taib berkata demikian dalam ucapan Belanjawan 2014 ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2014), 2013 bagi Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Tambah Taib, bagi tahun 2014 pendapatan negeri diunjurkan mencecah RM4,941 juta hasil daripada cukai pendapatan yang dianggar berjumlah RM1,201 juta, perolehan sebelum cukai bernilai RM3,607, non-revenue receipt bernilai RM10 juta serta bayaran balik dan geran pusat bernilai RM123 juta.

“Bagi tahun 2014, kerajaan bercadang memperuntukkan sejumlah RM4,683 juta bagi perbelanjaan lazim dan daripada jumlah ini RM3,000 juta akan disumbangkan kepada Statutory Funds Account bagi membiayai projek dan program pembangunan.

“Peruntukan berjumlah RM1,683 yang dicadangkan bagi perbelanjaan operasi tahun depan merupakan peningkatan sebanyak RM65 juta atau 4 peratus berbanding RM1,618 juta tahun 2013,” tambahnya.

Dalam pada itu, daripada RM4,276 juta peruntukan yang dicadangkan bagi pembangunan 2014, RM1,983 juta adalah untuk pelaksanaan projek-projek dan program-program komersial serta pengindustrian.

RM689 juta akan diperuntukkan bagi pentadbiran am bagi memperbaiki fasiliti kerajaan yang akan mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.

RM489 juta adalah untuk kemudahan awam terutama pembesaran dan menaik taraf pelbagai bekalan air terutama di kawasan luar bandar, RM169 juta bagi program pembangunan luar bandar, tanah dan pertanian, RM511 juta bagi perkhidmatan masyarakat dan pembangunan sosial manakala RM438 juta lagi bagi perhubungan dan pengangkutan khasnya jalan, jambatan dan pelabuhan.

Taib dalam pada itu mengingatkan ahli-ahli dewan bahawa persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar pada 2014.

Berikutan itu, beliau mengingatkan semua ahli dewan agar meneruskan polisi pengurusan kewangan yang bijak bagi membolehkan Sarawak terus stabil menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Sebagai tambahan, dengan sokongan kewangan kukuh daripada kerajaan pusat bagi tujuan pembangunan, negeri ini katanya, dapat terus berkembang dan merapatkan jurang pembangunan dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia. - theborneopost

No comments:

Post a Comment