Saturday, 23 November 2013

Masa depan DUN Pujut mungkin bergantung pada rayuan Fong

MIRI: Masa depan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mungkin terletak di tangan parti atau individu.

Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Senadin Mohd Che Kadir berkata, ia bergantung kepada rayuan wakil rakyat DUN Pujut Fong Pau Teck kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) atas pemecatannya baru-baru ini.

“Ia terletak kepada keputusan rayuan beliau terhadap pemecatannya sebagai salah seorang wakil rakyat DAP di Pujut,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, Fong boleh terus menjadi wakil rakyat atas tiket DAP jika rayuannya berjaya atau boleh melompat ke parti lain.

“Fong juga boleh menjadi wakil rakyat yang bebas dan tidak terikat atas mana-mana parti,” jelasnya.

Sekiranya rayuan tidak berjaya, Fong juga mungkin akan bertanding menentang DAP untuk mempertahankan kerusi dimenangi beliau itu pada PRN akan datang.

“Dan jika itu yang berlaku (rayuan tidak berjaya dan Fong bertanding sebagai mewakili parti lain atau calon bebas), rakyat akan memilih antara individu atau parti,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun, Che Kadir memberitahu DAP sudah mengetahui risiko yang dihadapi oleh parti berkenaan atas tindakannya DAP memecat Fong.

“Alasan pemecatan Fong menunjukkan beliau sendiri sudah tidak sehaluan dengan DAP, parti harus lebih penting daripada individu itu sendiri,” katanya.

Semalam, Fong memberitahu beliau akan membuat rayuan terhadap DAP atas pemecatannya daripada parti berkenaan.

Beliau juga memberitahu akan membuat penjelasan mengenai pemecatannya setelah selesai persidangan DUN nanti. - theborneopost

No comments:

Post a Comment