Thursday 21 November 2013

Fong akan buat rayuan terhadap pemecatan daripada DAP

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck akan membuat rayuan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) terhadap pemecatannya daripada parti tersebut, baru-baru ini.

“Sudah tentu saya akan membuat rayuan kepada parti mengenai pemecatan saya,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di DUN, semalam.

Fong memberitahu, beliau akan hanya membuat penjelasan mengenai pemecatan beliau daripada parti selepas persidangan DUN nanti.

“Buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan sehingga selesai persidangan DUN.

“Selepas selesai persidangan DUN nanti, saya akan membuat penjelasan mengenai situasi sebenar pemecatan saya daripada parti,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membuat bayaran bulanannya kepada DAP.

Pada 18 November lepas, DAP mengumumkan pemecatan Fong daripada parti selepas dikatakan tidak membuat bayaran bulanan yang wajib kepada DAP.

Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan terhadap pemecatan itu.

“Buat masa ini, saya masih mewakili parti DAP pada persidangan DUN ini.

“Namun demikian, saya masih belum mempunyai perancangan sekiranya rayuan saya ditolak nanti,” jelas Fong sambil memberitahu beliau akan membuat keputusan seterusnya selepas selesai persidangan DUN.

Sementara itu di Miri, khabar angin kini bertiup kencang bahawa Fong kemungkinan akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), jika tidak kekal Bebas atau wakil rakyat tidak berparti namun berpihak kepada pembangkang.

Spekulasi tersebut timbul ekoran Fong dilihat lebih ‘rapat’ bersama PKR termasuk menghadiri beberapa sidang media dan acara PKR berbanding DAP dan merupakan rakan baik Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo.

Malah, Fong turut memberi sokongan penuh dan ‘mewakili’ PKR dan calonnya, Dr Michael Teo ketika pengumuman kemenangan Dr Teo pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di sini, Mei lalu.

Dr Teo yang juga Ketua PKR Miri ketika ditemui di Miri semalam, bagaimanapun enggan mengulas mengenai spekulasi tersebut.

“Tiada komen. Tindakan memecat Fong adalah keputusan dan kuasa parti itu. Saya tidak berhak memberi komen walaupun kami adalah bersama-sama dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Malah, beliau juga enggan mengulas sama ada PKR akan menjemput Fong menyertai mereka atau sebaliknya.

“Terpulang kepada Fong untuk menentukan hala tuju politik beliau sendiri dan sama ada dia mahu menyertai PKR atau tidak,” ujarnya.

Dengan pemecatan Fong itu menjadikan lima orang wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai ADUN tidak berparti.

Selain Fong yang berhaluan pembangkang, empat ADUN lain yang tidak berparti di DUN Sarawak ketika ini ialah Datuk Sylvester Entri Muran (ADUN Marudi), Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

Keempat-empat mereka adalah wakil rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Kelab Penyokong BN, selepas dipecat dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lebih dua tahun lalu. - theborneopost

No comments:

Post a Comment